KOTA BHARU – Menteri Kewangan mungkin silap faham, peruntukan dipohon Kelantan adalah Pendahuluan Boleh Dituntut dan bukannya untuk pembayaran gaji kakitangan.
Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, semua kerajaan negeri memohon pendahuluan tersebut kerana ia adalah peruntukan sandaran bagi Kelantan setiap hujung tahun.
Beliau berkata, bayaran gaji kakitangan adalah mencukupi dengan RM300 juta yang diperoleh daripada sumber hasil tanah, hutan dan mineral negeri.
“Semua kerajaan negeri memohon mendapatkan pendahuluan ini kerana kita bimbang tidak dapat memenuhi komitmen seperti kebajikan rakyat pada hujung tahun.
“Apa kita mohon ialah sandaran kerana Kerajaan Persekutuan pun masih tak bayar premium tanah Institut Pendidikan Guru sebanyak RM113 juta.
“Cukai tanah RM18 juta pun belum bayar serta premium tanah Felda bernilai RM114 juta pun Felda tak bayar. Kalau persekutuan bayar ia akan selesai,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.
Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai pandangan bekas Menteri Kebinet, Datuk Zaid Ibrahim yang mencadangkan lesen kasino diberikan kepada bumiputera, Ahmad berkata, ia adalah pandangan peribadi yang membawa fahaman berbeza dengan orang lain.
“Dasar Kerajaan Kelantan adalah Membangun Bersama Islam, sebagai contohnya kita membenarkan orang bukan Islam minum arak tetapi dengan terkawal dan tidak diiklankan serta pembelian dibuat di kedai tertentu,” katanya.- SINAR HARIAN 24/10/2018