PKINK Dan CNMC Terajui Sektor Perlombongan

SINGAPURA: CNMC Goldmine Holding Limited telah menandatangani perjanjian Penyerahan Hak Melombong dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di sini, baru-baru ini.

Rombongan delegasi dari Kelantan, Malaysia diketuai oleh Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Dato’ Hanifa Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Faudzi Che Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Dato’ Dr Wan Zawawi Wan Ismail.

Lawatan ke CNMC Singapura itu juga turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pemegang saham antara CNMC Goldmine Holdings Limited, PKINK dan CMNM Mining Group Sdn Bhd.

Ahmad Yakob dalam ucapannya memberitahu, kejayaan CMNC ini membuktikan keupayaan sebenar syarikat itu sebagai pakar dalam bidang perlombongan berskala besar.

“Ianya lain dari pendekatan pengusaha berskala kecil di Kelantan sebelum ini. Kami harap akan dapat terus berkembang untuk memajukan lagi lombong-lombong kecil di Kelantan.

“Bermula dari perjanjian pertama pada 2007, sekarang ini hasilnya sangat membanggakan. Satu kejayaan buat kita dan ia juga hasil komitmen kerajaan terhadap perkara tersebut,”katanya.

Menyokong kenyataan tersebut, Wan Zawawi dalam ucapannya juga turut mengulangi keterujaan Kelantan terutamanya PKINK sendiri dalam melihat kejayaan yang dicapai oleh CNMC sehingga kini.

“Dengan penerokaan baru melalui Pulai Mining ini pihak PKINK berharap pelaburan CNMC akan terus berjaya dan berkembang dengan pesat lagi selepas ini,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif CNMC, Prof Lin Xiang Xiong dalam ucapannya mengucapkan ribuan terima kasih dengan kerja kuat yang telah dimulakan sejak tahun 2007 itu.

“Usaha itu kini membuahkan hasil dan dengan pengambilalihan Pulai Mining ini juga akan memberi potensi untuk kita terus maju bersama Kelantan. Ini adalah hasil kerjasama semua pihak yang berada di Kelantan,”katanya. –FB PKINK 22/1/2017

(Visited 24 times, 2 visits today)

Add Comment