PKINK kekal bebas rasuah

KOTA BHARU – Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) terus kekal bebas daripada sebarang kegiatan rasuah dan terbukti hingga kini apabila tiada kakitangannya dikesan terbabit dengan jenayah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail berkata, pihaknya mementingkan ketegasan dan ketelusan dalam segala urusan serta sering menasihati  lebih 1,000 kakitangannya  termasuk 21 anak syarikatnya, supaya  bertugas dengan penuh integriti dan menjauhi unsur rasuah.

“Sebanyak 21 anak syarikat ini terlibat dalam urusan hartanah dan perkhidmatan yang bernilai jutaan ringgit, oleh itu kita sentiasa menekankan aspek ketelusan dan betapa pentingnya integriti dalam setiap bidang tugas yang dilakukan terutama yang membabitkan kewangan,” katanya.

 Beliau ditemui pemberita selepas mengetuai majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kakitangan PKINK bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad dan Timbalan Pengarah SPRM Kelantan Rostam Abu Hassan.

Wan Zawawi berkata sebelum ini PKINK pernah mengadakan Ikrar Integriti Korporat (CIP) pada 2011 dengan SPRM serta menubuhkan Bahagian Integriti dan Perundangan PKINK.

Selain itu, PKINK juga sentiasa mengadakan kempen kesedaran anti rasuah dengan meletakkan kain rentang atau sepanduk di kawasan premisnya supaya kakitangan agensi itu sedar akan akibat buruk gejala rasuah. – BERNAMA 22/8/2017

(Visited 7 times, 3 visits today)

Add Comment