PKINK rancang wujud perkampungan kreatif

KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) merancang mewujudkan perkampungan kreatif (creative village) bagi menempatkan penggiat-penggiat seni kreatif di Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKINK Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail berkata perkampungan itu dicadang menempatkan pertukangan kayu, batik, perak dan wau.

“Lokasinya sudah dikenal pasti. Apabila pelancong datang dengan bas mereka boleh berhenti di “creative village” yang akan dilengkapi pelbagai kemudahan.

“Pelan sudah ada, sekarang dalam proses pembincangan mengenai tapaknya. Malah peruntukan juga sudah ada,” katanya di sini.

Antara kemudahan yang akan disediakan termasuk tempat mandi, surau dan restoran yang menyedia pelbagai jenis makanan kegemaran rakyat Kelantan.

Menurutnya juga pelancong boleh melawat bengkel pertukangan kreatif yang ada di Kelantan di satu tempat.

Kata beliau cadangan mewujudkan “creatif village” turut mendapat sokongan pengusaha bas pelancongan.

“Ini kerana sehingga sekarang belum ada lagi tempat yang sesuai untuk pelancong boleh mendapat apa sahaja di satu lokasi.

“Di situ dirancang dibina sebanyak 20 bengkel kreativiti rakyat Kelantan. Akan ditempatkan juga dua cafe yang menyediakan pelbagai jenis menu termasuk Nasi Air Dingin,” ujarnya.

Dr Wan Zawawi berkata bengkel pertukangan dan ruang pameran akan dibuat daripada kontena.

Sebelum ini kerajaan negeri merancang mewujudkan Kampung Warisan di Kampung Laut, Tumpat bagi membangun semula industri makanan tradisional yang terdapat di kawasan tersebut.

Walau bagaimanapun segelintir penduduk yang dipercayai didalang parti politik serpihan membantah projek berkenaan, biarpun memberi manfaat meningkatkan ekonomi penduduk tempatan. – HARAKAHDAILY 6/2/2017

(Visited 3 times, 1 visits today)

Add Comment