oleh Akmaliza Abdullah, PhD
*Pensyarah Kanan Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, UTM.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah pun memasuki fasa ketiga adalah satu peluang yang jarang sekali kita temui. Secara positif, ia adalah hikmah di sebalik musibah.
Maka, manfaatkanlah ia sewajarnya untuk menilai semula sistem kehidupan kita khususnya dalam bab pengurusan kewangan diri dan keluarga.
Perasan atau tidak, perkara paling ketara sedang berlaku ialah kita bukan lagi berbelanja seperti amalan biasa. Kita sudah memasuki kebiasaan baharu (new normal) yang banyak dapat berjimat apabila ketua keluarga terpaksa membiasakan diri ke pasaraya.
Jimat yang bagaimana?
Lazimnya, ketua keluarga hanya membeli menurut apa yang diminta sahaja atau paling mudah ikut senarai yang ditulis oleh “orang rumah”.
Bukan macam suri keluarga keluar berbelanja, yang tiada dalam senarai pun terlebih-lebih dibelinya dengan pelbagai justifikasi penyedap hati.
Sudahnya ke dalam tong sampah jugalah barang yang dibeli luput tarikh sebelum sempat dimasak.
Hatta alat memasak berharga lebih RM7,000 yang sedang sohor kini itu pun ada suri yang “berair mulut, terliur keta’-keta’” (dialek Kelantan merujuk kepada keinginan luar kawal) walaupun sedar dirinya memasak hanya kadang-kadang sahaja.
Ya, inilah masanya kita ada ruang untuk muhasabah; sudah berapa banyakkah kita membazir ketika berbelanja? Adakah yang kita beli itu keperluan atau kehendak?
Sedangkan ada dalam kalangan kita sedang “pecah kepala” memikirkan mana nak cari duit untuk membeli barang keperluan sekadar mengalas perut anak-anak daripada kebuluran.
Ada pula yang memang selama ini pun perbelanjaan cukup-cukup makan. Mereka inilah yang memerlukan sokongan sosial dan kewangan daripada keluarga, kawan, jiran sesama saudara se-Islam.
Sikap sudah terhantuk barulah terngadah bukan amalan orang bijaksana khususnya yang memahami erti kepentingan merebut peluang lima perkara sebelum lima perkara lain datang.
Bukannya kita tidak tahu pasal kelebihan ada duit tabungan. Masakan pula kita lupa pesanan orang tua-tua supaya sediakan payung sebelum hujan?
Pernah dengar cerita Nabi Yusuf a.s tafsir mimpi untuk kelangsungan hidup rakyat Mesir, supaya persiapkan bekalan tujuh tahun untuk menghadapi kemarau panjang?
Apakah hubung-kait kisah kemarau di Mesir dengan PKP?
Selagi pandemik Covid-19 ini masih menunjukkan peningkatan angka, selagi itulah kita berada di dalam ketidakpastian.
Lebih menggerunkan, sudah mula kedengaran kilang ditutup dan terpaksa memberhentikan pekerja. Syarikat dan premis yang bukan termasuk kategori “essential” tidak dibenarkan beroperasi. Taska/tadika pun terjejas sedangkan sewa, gaji perlu dibayar. Pengusaha bas sekolah dan peniaga kecil-kecilan pun terjejas teruk.
Gesaan kebanyakan penasihat kewangan supaya setiap orang mempunyai tabung kecemasan dengan jumlahnya adalah enam bulan perbelanjaan bulanan masing-masing. Contohnya, setiap bulan kita berbelanja wajib RM3,000. Jadi kita perlu simpan di dalam tabung kecemasan ialah RM18,000 (RM3,000 x 6 bulan).
Perbelanjaan wajib merujuk kepada segala perbelanjaan keperluan hakiki yang mesti dikeluarkan setiap bulan merangkumi makan minum, bayaran bil air, elektrik, telefon genggam/kediaman, minyak kereta dan tol, insurans kesihatan, pinjaman perumahan dan kenderaan, yuran sekolah anak-anak dan lain-lain yang berkenaan.
Setiap individu lain keperluan utama mereka terutamanya yang melibatkan kos sara hidup warga kota berbeza dengan masyarakat desa.
Perbelanjaan sampingan boleh dikecualikan pada masa ini termasuklah kos bercuti, pembelian gajet sohor kini, pakaian baharu atau makan dan libur di luar bagi memenuhi kehendak semata-mata.
Tabung kecemasan ini hanya boleh dipakai apabila berlaku kecemasan seperti tiba-tiba kereta rosak atau tidak dijangka terpaksa balik kampung menziarahi ibu bapa sakit atau kematian mengejut, hilang sumber pendapatan, tidak dibayar gaji atau dibayar sebahagian gaji, cuti tidak bergaji ataupun bersara.
Tempoh PKP Covid-19 ini adalah contoh nyata peri pentingnya tabung kecemasan perlu ada. Jika dapat menyimpan lebih daripada 6 bulan perbelanjaan lagi bagus.
Sekiranya tidak mampu, tiga bulan pun memadai. Kalau tidak dapat juga, simpanlah dahulu seberapa ada kerana bak kata pepatah lama sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.
Elok berjaga-jaga dan bersiap-sedia daripada berputih mata dengan membuat simpanan meskipun serendah RM5 sehari. Baik ada daripada langsung tiada.
Walaupun tidak belajar ilmu ekonomi, biarlah kita tahu serba sedikit ilmu pasal kewangan seperti kiasan nenek moyang jangan sampai di dapur kehabisan beras dan garam, supaya tidak perlu mengetuk pintu rumah jiran pada tengah malam untuk meminjam.
Kredit foto: Google.