Pra Himpunan 355 di Kota Bharu Rabu ini

KOTA BHARU: Menjelang himpunan raksasa 18 Februari ini, badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Kelantan akan berhimpun pra unjuk rasa (flash mob) menyokong RUU 355 Rabu ini.

Exco Penerangan dan Mobalisasi Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (Ilmam) Cawangan Kelantan, Zoolnazhi Naina Mohamad, berkata program itu bermula selepas solat Asar.

Katanya, orang ramai yang akan menghadiri program berkenaan disaran menunaikan solat Asar di Masjid Muhammadi.

“Selepas itu kita akan berarak ke Laman Sejahtera, Taman Hijau Kota Bharu untuk menyatakan sokongan kita terhadap RUU 355,” katanya di sini.

Pada Sabtu ini akan berlangsung perhimpunan Sokong RUU 355 di Padang Merbok Kuala Lumpur dianjurkan PAS dan NGO.

Zoolnazhi berkata tujuan pra himpunan itu diadakan bagi mengingatkan orang ramai khususnya umat Islam tentang Himpunan Sokong RUU 355 pada 18 Februari ini.

Menurutnya, ia juga bertujuan membangkitkan semangat serta mengingat orang ramai berkaitan program itu di Kuala Lumpur.

“Kami berharap orang ramai dapat hadir pada program Rabu ini untuk menyatakan sokongan terhadap RUU 355 yang akan dibahas di parlimen tidak lama lagi.

“Ia amat penting untuk umat Islam khususnya demi masa depan anak cucu kita tanpa mengira latar belakang politik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/2/2017

(Visited 2 times, 1 visits today)

Add Comment