PRK Rompin: Isyarat jelas daripada rakyat

tech

ROMPIN – Pas anggap kemerosotan undi majoriti Barisan Nasional (BN) kepada 8,895 undi berbanding 15,114 undi yang dicapai pada PRU13 lalu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin amat luar biasa kerana Pas bukan sahaja berhadapan dengan parti lawan tetapi tepaksa berentap dengan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Timbalan Pengarah 1 PRK Rompin Pas Dun Tioman, Mohd Fadzli Mohd Ramly, berkata, kejayaan mengurangkan majoriti undi yang dimenangi BN itu dilihat satu kejayaan besar bagi Pas dan Pakatan Rakyat (PR) dalam sesebuah PRK.

“Kerajaan pusat dan negeri Pahang dengan pelbagai kekuatan seperti agensi kerajaan serta taburan pelbagai janji, setiap hari ada sahaja menteri memasuki kampung di Rompin atas pelbagai program tidak mustahil mampu mengekalkan kemenangan.

“Walaupun Pas tidak menang tetapi majoriti BN menurun, ini merupakan kemenangan yang besar bagi Pas dan PR,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Pas juga percaya ia adalah kuasa undi pada rakyat yang menghantar isyarat jelas penentangan terhadap dasar cukai GST yang dilaksanakan sejak 1 April lalu dan kerajaan kini sudah tidak boleh memekakkan telinga serta membutakan hati terhadap suara rakyat ini.

Katanya, faktor penolakan kepada BN juga mungkin disebabkan dasar yang membebankan rakyat saban hari dilakukan atau dilaksanakan yang akhirnya rakyat menjadi mangsa kepada salah urus tadbir negara.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan perlu melihat isyarat penduduk setempat di Rompin terhadap pembangunan yang terpinggir selain kemudahan yang tidak setaraf setelah lama daerah itu menjadi kubu kuat BN.

“Isu Felda, Pulau Tioman dan tanah dilihat isu lapok yg tidak penah selesai walau saban kali janji ditabur. Rakyat hanya menjadi penonton kepada tanah yang banyak diteroka dengan pelbagai kegiatan.

“Pas menerima hakikat keputusan yang telah diumumkan dan akan mengkaji sedalamnya keputusan ini dari pelbagai sudut.

“Sebarang input berguna yang diterima akan digunakan untuk membaiki segala perjalanan organisasi parti, pentadbiran mahupun penambahbaikan strategik kempen memenangi hati rakyat,” katanya.

Sementara itu, Pas turut tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi dan akan bekerja lebih gigih memastikan amanah serta harapan rakyat Rompin akan terus diperjuangkan pada masa akan datang.

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Polis Kelantan bina dua surau di Manek Urai Lama

KUALA KRAI – Polis Kelantan membina dua buah surau di kampung Manek Urai Lama di sini, selepas beberapa surau di kampung berkenaan musnah akibat banjir besar pada Disember tahun lepas. Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata surau berkenaan dibina menggunakan dana daripada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kelantan, Yayasan […]

Subscribe US Now