Program Realiti Kolej Gentera Bakal Muncul

KOTA BHARU – Sebuah kolej berkonsepkan pogram realiti bakal diwujudkan dikenali sebagai Kolej Gentera sebagai penerusan kepada projek Gentera atau Generasi Sejahtera Kelantan anjuran Kerajaan negeri Kelantan.

Perkara tersebut antara yang diputuskan dalam perjumpaan kumpulan Fasilitator Gentera yang dipengerusikan oleh Pengarah Urusetia Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Nasruddin Mahmud Muhadin yang diadakan di Lembah Sireh dekat sini.

Gentera adalah suatu projek di bawah kerajaan negeri Kelantan melibatkan sejumlah belia-beliawanis yang akan melalui suatu program intensif bagi melahirkan Gentera yang menguasai 4 bidang fokus iaitu orator, moderator, seni karikatur dan aktivis kelestarian alam sekitar.

“Kolej Gentera yang sedang dikenal pasti pusat operasi lokasinya akan berlangsung selama 10 minggu bakal menyediakan modul-modul yang sesuai dengan generasi belia yang rata-rata hari ini terdedah dengan konsep program realiti.

“Mereka akan bersaing mengikut bidang fokus dengan format yang tersedia dan persaingan bentuk program realiti akan mendedahkan peserta Gentera kepada ilmu dan kemahiran di samping mereka berpeluang merebut hadiah yang disediakan oleh kolej, katanya.

Sebelum ini Kumpulan Fasilitator telah turun ke segenap daerah mencari kalangan belia-beliawanis yang berminat untuk menyertai agenda kerajaan negeri ini yang diaktifkan secara bersama oleh agensi-agensi kerajaan negeri iaitu Urusetia Belia dan Sukan Negeri Kelantan ; Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan ; Urusetia Penghulu Negeri Kelantan ; Institut Pemikiran Tok Guru dan Yayasan Amanah Tok Kenali Negeri Kelantan.
Selain itu Gentera turut sama digerakkan oleh badan induk gabungan NGO iaitu Konfederasi NGO Kelantan dan sebuah NGO beliawanis Ameerah negeri Kelantan.

Sehubungan dengan pencarian Gentera di daerah-daerah,urusetia berjaya mendaftarkan hampir 1,000 orang peserta dan sebagai permulaan, dua sesi pengenalan dan pemilihan Gentera diadakan. Sesi pertama telah pun berlangsung pada 20 hingga 23 September 2018 di Kompleks Belia dan Sukan Kelantan, manakala sesi kedua bakal berlangsung pada 25 hingga 27 Oktober depan di Jeram Mengaji Pasir Puteh.

Dalam perkembangan lain Ustaz Nasruddin juga menyebutkan bahawa suatu sesi Suarasa Gentera bersama dengan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Ustaz Wan Roslan wan Hamat akan diadakan pada 6 Oktober ini melibatkan 50 orang daripada 83 orang peserta yang telah mengikuti sesi penerangan dan pemilihan yang lalu.

“Suarasa Gentera adalah format bual bicara responsif santai berkonsepkan dua hala di mana Gentera akan mengemukakan soalan-soalan kaitan dengan dunia kebeliaan kepada exco, kemudian diikuti dengan Ustaz Wan Roslan pula mengemukakan isu yang akan dibincangkan bersama oleh peserta.

“Suarasa Gentera ini juga akan turut menampilkan munsyid Fadhli Eltyzam yang akan menghiburkan peserta selain peserta juga berpeluang mendapatkan cenderahati daripada pihak penganjur melalui penglibatan secara interaktif,” ujarnya.- 03 OKT 2018 UBES

https://www.facebook.com/urusetiabeliasukan/posts/1946987115339774

(Visited 48 times, 2 visits today)

Add Comment