
KOTA BHARU: Bagi memperkasakan amalan integriti dalam pentadbiran, Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan program tasawwur Islam kepada penjawat awam.
Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, usaha tersebut dilakukan kerana pegawai kerajaan negeri merupakan ‘tulang belakang’ dasar Membangun Bersama Islam.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri memperuntukkan dana untuk membiayai yuran pengajian serta keperluan lain sebanyak RM42,900 bagi setiap siri.
Menurutnya, pada siri pertama ia hanya ditawarkan khusus kepada pegawai tadbir kerajaan negeri sahaja dengan bayaran sebanyak RM900 seorang.
“Namun bagi siri kedua dan seterusnya, kita tawarkan kepada semua pegawai gred 41 ke atas di semua agensi kerajaan termasuk anak syarikat kerajaan negeri.
“Peserta bagi siri tiga bagi tahun 2016 telah pun menamatkan pengajian mereka. Saya difahamkan ia mendapat maklum balas positif dari peserta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Integriti Dan Penyampaian Sijil Diploma Tasawwur Islam Siri III di Dewan Teratai di sini, hari ini.
Ustaz Ahmad menambah, kursus Lanjutan Tasawwur Islam bakal diadakan kepada pegawai yang terlibat dengan siri lalu yang bakal dianugerahkan Diploma.
Program Tasawwur Islam adalah merupakan cetusan idea beliau setelah menjawat jawatan Menteri Besar bagi membangunkan pegawai tadbir negeri dengan keilmuan Islam yang mantap.
Antara objektifnya ialah menerapkan nilai-nilai agama dalam pentadbiran, membentuk pegawai yang menghayati nilai Islam dalam perkhidmatan awam serta menjadikan mereka bersedia untuk berubah dan menjadi contoh kepada masyarakat dengan amalan integriti dalam urusan kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 18/12/2016