ISU air di Kelantan ibarat penyakit barah atau pun kanser. Setidak-tidaknya ini yang diharapkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).
Penyakit ini jika tidak membunuh dengan segera pun, lama kelamaan ia boleh mengundang kecelakaan dan kematian. Sebab itu isu air sering hangat diperkatakan lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum.
Apa sahaja permasalahan yang timbul dan wujud di negeri ini akan terus menjadi fokus dan tumpuan satu Malaysia. Sedangkan jika di negeri lain, apa sahaja isu cuba disembunyikan serapat mungkin.
Lihat penduduk kampung di Pekan Pahang yang terpaksa menggunakan air parit dan air bukit beberapa bulan lepas akibat El Nino.
Namun ia tidak menjadi tajuk utama mana-mana akhbar mahu pun berita TV.
Apakah isu air baru wujud kelmarin? Atau sejak Kelantan diperintah PAS pada 1990? Ia adalah masalah lama yang diwarisi daripada kerajaan BN.
Ketua Jabatan Pembangunan Teknikal Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Ir Haji Wan Mohd Zamri Wan Ismail menyebut peruntukan pembangunan bekalan air di Kelantan bermula 1990 sehingga 2001 disekat.
Dan bermula pada 2003 barulah Kelantan dapat membina loji baru di Chicha. Kerajaan negeri memohon pinjaman RM600 juta untuk lima tahun bagi membangunkan bekalan air, tetapi diluluskan pinjaman itu untuk tempoh 15 tahun.
Negeri lain diberikan geran secara percuma sehingga RM1,000 juta, namun Kelantan hanya diberi RM600 juta. Itu pun pinjaman diberi untuk tempoh 15 tahun. Sedangkan keperluan sebenar untuk tempoh 15 tahun sebanyak RM2 bilion.
Malah bekas Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang menyebut peruntukan sebanyak RM600 juta itu teramat sedikit untuk membangun bekalan air bersih.
Sedangkan untuk menggantikan paip lama kosnya berjumlah RM1.1 bilion.
Umno-BN begitu berharap isu bekalan air berterusan sebagai menjadi modal politik menjelang PRU-14 nanti.
Mereka mengeksploitasikan pinjaman RM600 juta sebagai geran percuma. Pernah isu berkaitan wang RM600 juta dibawa ke mahkamah.
Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Azmi Che Ali diperintahkan membayar ganti rugi RM50,000 kepada AKSB berikutan kenyataan fitnah yang mengaitkan penyelewengan pinjaman kewangan kerajaan Persekutuan, tiga tahun lepas.
Sedangkan dalam tempoh 1990-2003, AKSB tidak menerima satu sen pun untuk pembangunan air di Kelantan.
Kelantan sebenarnya memerlukan lebih RM5 bilion bagi membangun bekalan air “lost development years” bagi memenuhi permintaan pengguna yang meningkat 3 peratus setiap tahun.
Air payau
Merujuk pula aduan pengguna yang mengatakan air paip terasa agak payau, penjelasan sudah diberikan AKSB. Sungai Kelantan sejak berpuluh tahun aras minima tahunan yang dicerap di Pasir Mas, tidak pernah turun sehingga di bawah 1.0 meter walau pun kemarau.
Namun selepas tahun 2010 ia turun sehingga 0.20 meter. Dan kesannya air laut mula masuk ke kawasan sungai Kelantan. Kehadiran garam dalam air Sungai Kelantan pada Mac 2016 boleh dikesan sehingga ke Jambatan Tendong, Pasir Mas.
Kesan penurunan air sungai ini juga memaksa KADA merancang membina empangan rendah atau ‘low weir’ di Kampung Kubang Pak Amin dengan kos melebihi RM40 juta.
Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana bersetuju meluluskan rancangan migrasi kepada Kelantan setelah AKSB memohon sejak tahun 2008.
Terkini enam negeri telah migrasi ke rejim Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) iaitu Johor, Perak, Pulau Pinang, Perlis, Melaka dan Negeri Sembilan di bawah rancangan nasional untuk melestarikan perkhidmatan air. Kelantan bakal memperoleh banyak manfaat di bawah rancangan ini dalam usaha membangunkan projek bekalan air.
Di sebalik kesungguhan Kelantan membangun projek bekalan air, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pula mengadakan taklimat 20 Jun lepas di Kota Bharu.
Peserta yang diundang ialah agensi-agensi kerajaan persekutuan dan pimpinan Umno. Malangnya sesi penerangan bertajuk Melestarikan Air Kelantan Demi Kesejahteraan Hidup Rakyat langsung tidak menjemput wakil kerajaan negeri dan juga AKSB.
Apakah ini yang dinamakan Kelantan dianaktirikan. –HARAKAHDAILY 24/6/2016
Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan