PROJEK JAMBATAN PALEKBANG DAN PEMBANGUNAN SEMULA KAMPUNG LAUT BAKAL TINGKATKAN SOSIOEKONOMI RAKYAT

oleh Che Maziah Mat

TUMPAT – Menteri Besar, YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed mengadakan lawatan bersama untuk meninjau perkembangan projek-projek kerajaan persekutuan yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) hari ini.

Antara projek yang dilawati oleh YAB Menteri Besar dan YB Menteri ialah tapak projek Jambatan Palekbang-Kota Bharu serta projek Pembangunan Semula Kampung Laut sebagai Kampung Warisan di Tumpat yang sedang dalam peringkat pembinaan.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II merangkap Ahli Parlimen Tumpat, YB Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, YB Dato’ Sr. Azami Mohd Nor, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Wan Mohd Suhaimi Wan Mustapha, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat serta wakil dari Jabatan Perdana Menteri dan UPEN.

Pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bharu akan dapat menyuraikan masalah kesesakan trafik di Jambatan Sultan Yahya Petra dan pusat bandar Kota Bharu di samping menjadi laluan alternatif yang menghubungkan Tumpat dan Kota Bharu. Jambatan ini akan meningkatkan kesalinghubungan penduduk setempat serta memudahkan pergerakan rakyat dan perdagangan rentas sempadan apabila siap kelak.

Projek pembangunan semula Kampung Laut sebagai Kampung Warisan yang berkonsepkan ‘muzium hidup’ atau ‘living museum’ pula membabitkan pembinaan Laman Warisan dan Laman Seni yang bukan sahaja dibangunkan untuk tarikan pelancong selain memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menjual makanan tradisional dan kraftangan tempatan.

Antara komponen utama dalam projek ini adalah pemindahan semula Masjid Kampung Laut yang berusia 300 tahun, iaitu salah sebuah daripada masjid tertua di Malaysia. Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan nilai-nilai sejarah, budaya dan seni bina masjid tersebut dan menjadikannya sebuah mercu tanda warisan di Kelantan.- UPKN KELANTAN 3/1/2021

(Visited 56 times, 12 visits today)

Add Comment