PROJEK OKU TANI AL FALAH JANA EKONOMI BAHARU

webmaster

oleh Norzana Razaly

BACHOK – Kerajaan Negeri Kelantan memandang serius maslahat rakyat khasnya golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri ini.

Oleh itu, Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan melalui Kelantan Biotech KBCSB bersama Persatuan Pertanian Alami Kelantan (ALAMI) selaku rakan teknikal telah menggerakkan Projek OKU Tani Al Falah 2020 Akuaponik.

Sesi taklimat dan penyampaian benih tanaman sawi dan ternakan tilapia kepada OKU terpilih baru sahaja berlangsung di Markas ALAMI, Tawang, dekat sini pagi tadi.

Projek perintis itu bermanfaat kepada empat petani di seluruh Kelantan dari aspek peningkatan ekonomi melalui pertanian bersepadu.

Dua petani terpilih mengusahakannya iaitu Mohd Azlan Berahim dari Meranti, Pasir Mas dan Rahim Yusof dari Pulai Chondong, Machang. Manakala petanita pula ialah Rohana Hassan dari Bunot Payong, Kota Bharu dan Zaidah Mohamed dari Selising, Pasir Puteh.

Menurut Pemangku Pengurus KBCSB, Mohd Afzanizan Arif, projek yang mengaplikasikan sistem penghasilan makanan yang menggabungkan teknik akuakultur (menternak ikan di dalam tangki), dengan menanam sayur-sayuran di dalam air secara hidroponik, amat mesra petani OKU kerana berkos rendah dan menjimatkan tenaga buruh serta mudah diurus.

“Kitaran ini mewujudkan persekitaran simbiotik. Dalam akuakultur normal, pembuangan sisa najis ikan yang terkumpul di dalam air akan meningkatkan toksisitinya. Melalui sistem akuaponik, air dari sistem akuakultur itu disalurkan terus kepada sistem hidroponik”,  jelasnya.

Rohana Hasan, 52, menyatakan kesyukuran dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan agensi terbabit atas bantuan dan sokongan yang beliau terima.

“Selepas mengikuti kursus dan taklimat hari ini, saya betul-betul faham cara sistem akuaponik bekerja iaitu produk lebihan (sisa) tilapia diuraikan oleh bakteria pengurai-nitrogen kepada nitrat dan nitrit. Kemudian, sawi dan salad dapat mengambil nutrien tersebut. Air itu disalurkan semula ke tangki tilapia”, katanya.

Rahim Yusof, 54, mengakui teknik yang diperkenalkan oleh Kerajaan Kelantan melalui KBCSB dan ALAMI  ini memang menjimatkan dan tidak membazir. Tanaman dan haiwan saling memberi faedah sesama sendiri  di dalam takungan peredaran air. Hasilnya, memberi pendapatan kepada petani.

“Dulu, kita tidak tahu guna teknik bersepadu seperti ini, menyebabkan kerja pertanian dianggap susah, memenatkan dan dipandang lekeh”, kata tukang jahit merangkap pemenang pingat emas Asia Para Game di Hanoi 2003 dalam acara lompat tinggi.

Turut hadir, Pegawai Khas Exco Pertanian Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Nasir Abd Rahman mewakili YB Exco, Pengerusi ALAMI, Hanifuddin Abd Kadir dan Prof. Dr. Ab Aziz Shuaib.- UPKN KELANTAN 4/2/2021

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

PENGHULU TANPA MUKIM DIRAI

oleh Che Maziah Mat KOTA BHARU– Kerajaan Negeri menasihatkan kaum Tiong Hwa yang akan meraikan sambutan Tahun Baru Cina pada 12 dan 13 Februari depan agar mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat agar penularan wabak Covid-19 dapat dikawal. Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, YB Mejar (B) […]

Subscribe US Now