PROJEK TENAGA SOLAR TERAPUNG TERBESAR DI ASIA TENGGARA

webmaster

oleh Nik Azman Nik Mustafa

PASIR MAS – Kerajaan Negeri melancarkan Projek Tenaga Solar Terapung terbesar di Malaysia serta mengisytiharkan Tasik Danau To’ Uban sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA) sekaligus menjadikan ia sebagai projek solar terapung yang diintegrasikan dengan industri akuakultur serta aktiviti pelancongan terbesar di Asia Tenggara.

Majlis pelancaran dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah merangkap Pengerusi KUM di Tasik Danau To’ Uban hari ini.

Satu Pelan Induk Pembangunan DTU Eco Green Park telah disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan di kawasan Tasik Danau To’ Uban adalah terancang dan sistematik.

Pembangunan DTU Eco Green Park ini adalah selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Mampan Negeri Kelantan (PIPM) yang memfokuskan kepada pelaksanaan agenda pembangunan sosioekonomi negeri secara inklusif membabitkan pihak yang berkepentingan, termasuklah kerajaan negeri, swasta, akademia dan rakyat secara amnya.

Antara lain, matlamat PIPM adalah untuk mengharmonikan tiga elemen teras pembangunan iaitu pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial dan perlindungan alam sekitar. Salah satu langkah yang diambil oleh kerajaan negeri bagi memastikan matlamat ini tercapai adalah dengan melantik Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) sebagai rakan strategik dalam membangunkan industri teknologi hijau di negeri Kelantan. 

Ladang solar terapung ini adalah merupakan projek yang diusahakan oleh Cypark Resources Berhad (Cypark) melalui anak syarikatnya, Cypark Estuary Solar Sdn Bhd dan Cove Suria Sdn Bhd dengan kerjasama KUM.

Cypark Etsuary dan Cove Suria masing-masing membangun dan mengendali ladang solar terapung berkapasiti 30MW yang membawa jumlah kapasiti 60MWac (100MWp) tenaga solar terapung berskala besar.

Ladang solar terapung di Danau To’ Uban dijangka menjadi yang terbesar di Asia Tenggara terdiri daripada 247,830 panel solar akan menjana 140,000 MWh kuasa setahun dapat menyalurkan tenaga kuasa elektrik kepada kira-kira 46,480 isi rumah dan menjimatkan kira-kira 96,600 tan metrik karbon dioksida setiap tahun.

Setelah projek ini selesai, ia bakal menjadi ladang solar terapung fotovoltaik (PV) yang diintegrasikan dengan industri akuakultur serta aktiviti pelancongan terbesar di Asia Tenggara dan yang kedua terbesar di Asia selepas China.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, YB Dato’ Hanifa Ahmad,  Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Hijau dan Alam Sekitar, YB Abdul Azziz Kadir, Pengerusi Cypark Resources Berhad, Tan Sri Razali Ismail, Pengarah Kanan Bahagian Taman Laut dan Pengurusan Sumber Jabatan Perikanan Malaysia, Mohd Sufian Sulaiman serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan. –UPKN KELANTAN 1/04/2021

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

SELAMAT DATANG PENGARAH BAHARU UPKN

oleh Che Maziah Mat KOTA BHARU– Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan terus mara ke hadapan menerajui informasi berasaskan membangun bersama Islam. Dengan tekad menjadi rujukan maklumat tepat dan cepat mengenai dasar dasar dan perkembangan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai peneraju perubahan, hari ini UPKN menerima kehadiran pengarah baharu […]

Subscribe US Now