Projek terowong Palekbang masih jadi misteri

terowongTUMPAT: Tentunya ramai masih ingat digegerkan sebelum ini penemuan terowong peninggalan tentera Jepun di Palekbang yang didakwa menyimpan ‘harta karun’. Namun sekarang ia seperti dilupakan.

Empat tahun lepas heboh di laman sosial, blog dan diperkatakan di sana sini penemuan aset Perang Dunia Kedua tersebut.

Disebarkan dakwaan terowong terbabit panjang sehingga 100 kilometer bersambung sehingga ke Takbai, Thailand dan mempunyai lapangan terbang bawah tanah hingga Lalang Luas, Machang.Malah kerja-kerja membersihkan kawasan penemuannya juga dikatakan dilakukan dengan penglibatan secara langsung seorang anggota Exco kerajaan negeri.

Seorang petugas keselamatan PAS ketika itu memberitahu beliau diarah berkawal di lokasi berkenaan kerana disyaki terowong itu menyimpan harta karun.

Katanya kawasan sekitarnya dikawal siang dan malam bagi mengelakkan dicerobohi pihak lain.

Seorang bekas pegawai kanan agensi kerajaan negeri juga pernah memberitahu hampir setiap hari beliau berada di lokasi tersebut.

Difahamkan kerja-kerja meneroka terowong misteri itu juga melibatkan perbelanjaan yang tidak sedikit, namun tidak ramai mengetahui mengenainya.

Penghulu Mukim Palekbang, Muhamad Mahmod mendakwa penemuan terowong tersebut seperti agenda bekas anggota Exco terbabit memandangkan tidak ramai pemimpin lain tahu mengenainya.

Bagaimanapun katanya penemuan tersebut tidak dilakukan menggunakan saluran yang betul seperti Perbadanan Muzium Kelantan atau agensi kerajaan lain.

“Sepatutnya agensi itu bertanggungjawab kerana ia berkaitan proses pencarian artifak lama.

“Namun peliknya bekas anggota Exco terbabit dilihat lebih banyak memainkan peranan sehingga pernah dijadikan kawasan itu sebagai larangan awam,” katanya di sini. – HARAKAHDAILY 16/11/2016

(Ikuti pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

(Visited 22 times, 4 visits today)

Add Comment