TUMPAT – Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Kelantan Darul Naim (PURNAMA) meneruskan Program Fegmen Kasih-PURNAMA Prihatin dengan menyiapkan 13,500 bungkusan kuih raya sebelum diserah kepada 20 agensi keselamatan yang di negeri itu.
Pengerusi PURNAMA, Datin Bentara Kanan Datin Siti Zabidah Abdul Hamid memaklumkan aktiviti membungkus empat jenis kuih raya dalam setiap pek bermula dua hari sebelum Ramadan.
“Alhamdulillah memandangkan tahun ini jumlah bungkusan kuih bertambah berbanding biasa, kami turut bekerjasama dengan Darul Niswah DUN Pasir Pekan dan Darul Niswah DUN Jelawat.
Sumbangan Aidilfitri diadakan setiap tahun sebagai tanda ingatan kami mewakili kerajaan negeri dan rakyat Kelantan atas pengorbanan pasukan keselamatan menjaga keselamatan negara.
Antara penerimanya ialah Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Penjara Kelantan, Polis Diraja Malaysia dan Bomba, ” katanya ketika ditemui di Darul Niswah Pasir Pekan, semalam.
Tambahnya, bungkusan empat jenis kuih per pek itu akan diserah oleh Menteri Besar YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob pada 13 April kepada wakil agensi berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi PURNAMA, Datin Hasmani Husain, setiausaha Datin Nor Asyikin Ahmad dan isteri ADUN Jelawat, Nor Aini Mustapha.