Ramadan 1441H dan Hikmah Corona

webmaster

Memasuki Fasa Keempat PKP yang kemudiannya diubah sedikit menjadi PKPB, rakyat mulai menerima hakikat norma baharu kehidupan.

Besar kemungkinan cara bekerja, berurusniaga, berhubungan sesama insan bahkan semuanya akan bertukar pada masa hadapan.

Bekerja dari rumah (work from home), penjarakan sosial, tidak bermudahan saling bersentuhan, penjagaan kebersihan, berjimat- cermat, menggunakan sumber sedia ada seoptimumnya dan pelbagai lagi norma baharu sedang diserap masuk ke dalam minda dan budaya masyarakat.

Melalui ujian Allah SWT dengan sebaran virus Corona ini, manusia semakin menyedari bahawa tiada sandaran dan harapan yang paling besar di dalam kehidupan mereka, melainkan berserah sepenuhnya kepada Allah SWT.

Berdepan dengan “musuh” yang tidak kelihatan pada mata dan tidak boleh dihidu dengan deria biasa, maka penyerahan sepenuhnya adalah kepada Tuhan Yang Maha Menciptakan setiap sesuatu.

Manusia juga semakin bersyukur dan mulai menghargai kehidupan lama mereka. Di Eropah mereka yang dahulunya hidup mewah, konsumer produk berjenama, berjalan keluar masuk gedung dan pusat beli belah ternama dunia, menikmati makanan dan sistem perubatan termahal berbanding negara lain, khasnya negara dunia ketiga serta miskin papa-kedana seperti Afrika dan yang lainnya di Asia, kini terduduk dan terpinga-pinga.

Bagaimana mungkin negara maju dan berstatus moden, seperti Amerika Syarikat, Perancis, Itali, Sepanyol, Britain dan beberapa yang lainnya dilanda badai corona sehingga seteruk-teruk keadaan?

Anak-anak yang cerdik pandai, memiliki bakat dan IQ tinggi dari seluruh pelusuk dunia, sepanjang seratus tahun ini dihantar ke negara negara tadi untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan lain lain, namun negara ini sendiri akhirnya tidak mampu menguruskan serangan pandemik secara efektif.

Ini semua tidak lain tidak bukan adalah bukti kekuasaan Allah SWT dalam menentukan setiap sesuatu.

Corona telah “menghentikan” kesibukan umat dunia. Kini, mereka dapat menilai kembali betapa mabuk dan lemasnya setiap individu dalam kesibukan harian yang sebelumnya.

Setelah dipaksa untuk berada di rumah, dengan “lockdown” yang dikuatkuasakan majoriti kerajaan di dunia, maka barulah nikmat kerehatan dan kelapangan dapat dirasai oleh semua.

Keluarga yang selama ini terabai dek kesempitan masa mencari rezeki, kembali menerima tumpuan dan curahan kasih sayang. Segala masalah yang dipikul dan terbeban di bahu setiap yang bergelar “pekerja” seakan-akan tercabut dan menghilang.

Ia diketepikan begitu sahaja dan dibiarkan berlalu dengan tibanya Corona. Sudah tiada yang utama, melainkan menjaga kesihatan dan nyawa keluarga.

Kilang dan perusahaan dunia terhenti, begitu juga kenderaan yang saban hari melepaskan pelbagai asap dan gas, semuanya kaku. Bumi akhirnya memperoleh hak mereka untuk berehat seketika setelah lama merayu kepada manusia betapa bahayanya pencemaran dan kerosakan alam semulajadi. Ini semua tidak akan pernah berlaku tanpa kehadiran corona.

Manusia akhirnya pasrah lalu mulai memahami erti persaudaraan. Ya, setelah terpisah dan dikawal setiap pergerakan biasa, jarak dan pertemuan yang terbatas telah mewujudkan kembali perasaan rindu dan nilai kemasyarakatan yang perlukan suasana muhibah.

Manusia menyedari bahawa kehidupan ini semuanya bersambung dan berkesinambungan serta saling melengkapi, merentasi sempadan negara bangsa.

Meskipun wabak asalnya bermula di Wuhan sahaja, kini ia berada di semua benua, bergerak seiring jalan dengan komunikasi serta perjalanan rentas sempadan udara, darat dan air yang manusia lakukan saban hari. Justeru, dengan kerjasama global semua negara, masalah ini akhirnya mampu diselesaikan secara kolektif.

Bagi umat Islam khasnya, Corona datang dengan mengingatkan banyak perkara. Antaranya adalah peri penting menjaga kesihatan dalam kehidupan harian. Ia perkara asas yang kadangkala kita abaikan khususnya kebersihan diri, keluarga, tempat tinggal, halaman rumah dan alam sekitar.

Corona juga mengingatkan agar tidak mudah bersalaman dan bersentuhan dengan yang bukan mahram, menjaga adab ketika batuk dan bersin, menjaga wuduk dan pelbagai aspek kesucian lain. Makanan juga wajib dipastikan halal dan baik serta diizinkan oleh agama.

Paling utama, Corona mengajar kita kembali fokus kepada keluarga, duduk bersama mereka, luangkan masa, ajarkan mereka agama, dengar suara hati anak-anak, fahami naluri dan kehendak pasangan.

Semua ini ramai antara kita telah abaikan, akibat sibuknya mencari nafkah sebelum daripada ini. Sibuk mencari dunia hingga terlupa “dunia sebenar” yang tetap setia menantikan sapaan kita di rumah.

Terima kasih Corona. Peringatan yang dikirim Tuhan melalui kamu, akan kami ingati sampai mati.

Nazman Che Iberahim
22 Ramadhan 1441H

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

EXCO KESIHATAN SAMPAIKAN KIT IFTAR KEPADA WARGA HRPZII

oleh Norzana Razaly KOTA BHARU, 17 Mei – Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa peka terhadap kebajikan para petugas barisan hadapan di Kelantan khususnya warga perubatan yang gigih berkhidmat membantu masyarakat menangani wabak Covid-19. Menghargai khidmat tersebut, agihan 200 bungkusan juadah iftar kepada pasukan barisan hadapan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) […]

Subscribe US Now