oleh Norzana Razaly
Hamdalah wasyukrillah kerana kita masih diberikan kesempatan menyambut Ramadan 1441H yang lain daripada biasa.
Ketibaan Ramadan tahun ini bersama pakej cuti percuma yang lama menambah kuasa luar biasa istimewanya.
Kesempatan bersama keluarga wajar dimanfaatkan sepenuhnya kerana masa berharga sebegini rupa jarang diperolehi.
Jadi bersempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac berlanjutan ke fasa keempat sehingga 12 Mei ini bukan boleh sewenangnya dibazirkan tanpa sebarang aktiviti bestari.
Beruntung
Di samping mendepani ujian mengurung diri dan mengehadkan pergerakan untuk memutuskan rantaian Covid-19 kerana mencegah wabak adalah sunah, kita sebenarnya amat beruntung menerima kunjungan Ramadan kali ini dengan penuh keterujaan apabila ia ditatang limpah keinsafan dengan mempergiat solat, mempertingkat taubat dan merafak munajat ke hadrat Rabbul Izzat.
Secara positif dan seraya bermuhasabah, Ramadan berpakej cuti panjang percuma ini dapat disyukuri sebagai sebuah ibrah berupa rahmat tersirat di sebalik musibah.
Kehadiran bulan suci ini membuka peluang kepada para ayah bersama anak lelaki saling menjadi imam solat berjemaah seisi usrah dan berterawih dengan penuh kewibawaan dan berizzah.
Manakala para ibu/suri rumah pula beroleh ruang melatih anak-anak kemahiran memasak yang selama ini tidak sempat dilakukan akibat kesibukan tugasan masing-masing yang tersendiri.
Inilah nikmat yang boleh diraih bersama-sama ahli famili di rumah sendiri demi merealisasikan slogan “rumahku, syurgaku” (baiti jannati).
Jimat belanja
Kegiatan menanam sayuran di belakang rumah pastinya mencipta momen terindah apabila sejuk nyaman mata memandang laman hijau hasil usaha seisi keluarga sementelahan pula ia dapat menjimatkan belanja dan merangsang peningkatan ekonomi rumahtangga.
Rebutlah kesempatan mengganda pahala, menjaga adab dan susila dengan menjaga aurat dan ikhtilat serta mengelak maksiat kerana kemungkinan kita tidak berpeluang berhari raya seperti biasa.
Justeru kita sedang membiasakan diri dengan kebiasaan baharu maka suasana berpuasa dan menyambut lebaran juga pastinya tidak seperti tahun-tahun lalu.
Aktiviti famili
Kehadiran Ramadan 1441H menggalak khairat dengan mempereratkan kasih-sayang suami-isteri. Anggaplah ia musim bulan madu maka elakkan sengketa sepahit hempedu dengan mempertautkan kemesraan ahli famili melalui aktiviti mengaji dan mengkaji Al-Quran untuk menjauhi kejahilan, mendekati kemajuan demi menjuarai kehidupan alam sementara di sini apatah lagi di alam abadi.
Amalan kawal pergerakan kekal berkebajikan diteruskan kerana bersedekah menambah barakah. Ketiadaan Bazar Ramadan membuka peluang muslimin muslimat saling bertukar juadah. Maka, bercambahlah ukhuwah insaniah sesama jiran tetangga.
Ramadan 1441H hadir bersama rahmat yang tersirat, ibrah di sebalik musibah adalah nikmat terindah daripada Allah SWT untuk para hamba-Nya mengganda pahala dan mensuci dosa dengan berzikir mengundang tenang dan berfikir menjulang menang kerana Ramadan adalah bulan beribadah, berehlah, bertausiah, berdaurah, berukhuwah, bermawaddah demi meraih maghfirah dan reda Allah SWT.
Ramadan Karim kepada semua muslimin muslimat di Kelantan dan di perantauan serta seluruh umat Islam daripada Pengarang mewakili Pengarah dan semua warga kerja Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan.
#kawalpergerakankekalberkebajikan
#Covid19
#stayathome
#RamadanalMubarak1441H
#UPKkitabersama
Sumber: https://www.facebook.com/1379770592257304/posts/2659160814318269/