Rasuah: Lapor jika ada maklumat

KOTA BHARU – Orang ramai dinasihat segera membuat laporan sekiranya mempunyai maklumat berhubung rasuah di kawasan mereka demi menjaga kewibawaan dan kredibiliti maklumat.

image (1)
Moh Samsudin Yusof

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Datuk Moh Samsudin Yusof berkata, kelewatan melaporkan akan menjejaskan keterangan dan kewibawaan kes untuk didakwa di mahkamah.

“Ada maklumat, salurkan terus, jangan ambil masa lama untuk siasat atau mengumpul bukti lebih lengkap, kerana kerja-kerja menyiasat dalam bidang kuasa SPRM.

“Kelewatan melaporkan akan menyebabkan maklumat yang ada ‘semakin tawar’ dan berkemungkinan untuk dikaburi atau dipadamkan,” katanya ketika menghadiri Majlis Konvokesyen Huffaz Maahad Tahfiz An- Nabawi (Matan) Centre di sini.

Moh Samsuddin berkata, tindakan mengikut keutamaan dan kepentingan kes akan dilakukan pihaknya sebaik menerima maklumat daripada orang ramai.

“Kesedaran menyalurkan maklumat perlu diberikan kepada semua masyarakat termasuk Orang Asli biarpun mereka jauh di pedalaman. Rasuah ada di mana-mana, semua orang perlu menjadi mata dan telinga SPRM dalam usaha membendung salah laku ini,” katanya.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu takut menyalurkan maklumat kerana mereka akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

“Kita percaya rakyat akan memainkan peranan sebaiknya sebagai satu tanggungjawab, amal maaruf nahi mungkar. Jika kita berjaya cegah, ada ganjarannya, dan jika gagal dapat dosa,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar, Datuk Moh Amar Nik Abdullah yang mengalu-alukan bantuan dan kerjasama SPRM bagi membendung kecurian balak, Moh Samsudin berkata, pihaknya sentiasa memberikan khidmat terbaik bagi menangani masalah rasuah di negeri ini.

“SPRM sentiasa memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri atau mana-mana pihak dalam mengatasi isu ketirisan hasil di negeri ini dan akan segera bertindak sebaik menerima maklumat,” katanya. [SINR HARIAN]

(Visited 30 times, 3 visits today)

Add Comment