KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa’) membuka premis rawatan di Wisma PERAKAN, Pekeliling.
Exco Belia, Sukan dan NGO, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat mengucapkan tahniah atas pembukaan Pusat Rawatan Kecil Darussyifa’ Pekeliling sebagai ketandaan hubungan erat dua badan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung untuk memberi perkhidmatan percuma.
“Kita berbangga apabila pihak NGO sedia bergabung membantu mempermudahkan urusan kehidupan masyarakat seperti yang dilakukan oleh Persatuan Anak Kelantan Perantauan (PERAKAN) dengan Darussyifa’.
Semangat dua NGO ini amat wajar dicontohi dalam memberi perkhidmatan percuma dan pesakit boleh datang secara terus (walk-in) tanpa janji temu,” katanya ketika merasmikan pusat rawatan tersebut, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Darussyifa’ Malaysia, Rahman Ahmad memaklumkan Darussyifa’ mengaplikasi dua kaedah sunah iaitu menggunakan sistem perawatan komplimentari (pelengkap) tetapi bukan bersifat alternatif (pilihan).
Namun begitu, ulasnya, Darussyifa’ juga menawarkan rawatan bersifat alternatif dalam suatu keadaan apabila terdapat rawatan lain yang tidak patuh syariah.
“Jurusan Darussyifa’ bukan sekadar merawat sakit jasmani atau fizikal seperti demam, kayap, kanser dan sebagainya, tetapi menjurus kepada merawat sakit rohani seperti anak atau pasangan yang degil, panas baran, malas dan sebagainya.
Rawatan dilakukan setiap Ahad bermula pukul 2 petang,” jelasnya.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri Setiausaha Agung Darussyifa’ Malaysia, Salwa Haron.
Ikuti berita dalam Buletin Darulnaim.
#ViraliyatBerita1ptg