Restoran berkonsep kapal terbang

KOTA BHARU – Seorang usahawan sanggup melabur RM100,000 hanya semata-mata untuk membeli sebuah pesawat ringan dari sebuah pusat latihan penerbangan di sini bagi menghias restorannya yang menggunakan konsep kapal terbang.

Konsep pertama seumpamanya itu tercetus apabila melihat kapal terbang merupakan pengangkutan yang ‘universal’ dan pada kebiasaannya digunakan sebagai pengangkutan udara yang mudah dan pantas dan bukan sahaja untuk ke destinasi dalam negeri, malah luar negara.

Menurut Pengarah Eksekutif restoran terbabit, Mohd Taufik Abdullah, restoran berkenaan membawa kelainan dari segi konsep santai, persembahan makanan dan suasananya apabila meletakkan pesawat ringan di atas bumbung restoran sebagai daya tarikan.

“Mereka yang berkunjung ke restoran ini bukan sahaja dapat menjamu selera dengan pelbagai hidangan masakan Kelantan malah turut memperkenalkan masakan ‘ala Johor yang pastinya memikat sesiapa sahaja yang berkunjung ke restoran ini.

“Ia turut pamerkan ciri-ciri santai dengan hiasan kolam dan air terjun buatan yang pastinya memberi ketenangan dan suasana tenang yang belum pernah dirasai oleh pelanggan di mana-mana restoran sebelum ini,” katanya.

Mohd Taufik berkata, kelainan dari segi persembahan restoran dengan ilham kapal terbang itu juga tercetus selepas mendapati kapal terbang antara pengangkutan yang disukai golongan kanak-kanak.

“Harapan saya dengan pengenalan restoran ini dapat jadi tarikan terbaru di samping mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan.

“Restoran ini yang dibina dengan kos RM5 juta ini bakal dibuka sepenuhnya pertengahan Mei ini turut dapat kerjasama Pusat Pelancongan Negeri,” katanya.

Pada pembukaan tidak rasminya baru-baru ini, lebih 1,000 memeriahkan sambutan sempena perasmian Restoran Kapal Terbang di Jalan Lundang, di sini.

(Visited 40 times, 3 visits today)

Add Comment