Ribuan rakyat iringi Sultan Kelantan

webmaster

KOTA BHARU: Ribuan rakyat Kelantan pagi ini mengiringi keberangkatan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke ibu negara bagi menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Rakyat Kelantan berbilang kaum berbaris sambil mengibarkan bendera Kelantan dan Jalur Gemilang di sepanjang jalan antara Istana Negeri, Kubang Kerian dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bagi meraikan keberangkatan baginda.

Turut memberikan ucapan selamat berangkat pada baginda agensi-agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, badan-badan bukan kerajaan.

Baginda berlepas dari Istana Negeri Kubang Kerian kira-kira jam 8.10 pagi dengan diiringi Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra, kaum kerabat, Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan lain-lain pembesar negeri.

Turut berangkat, bonda baginda Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Baginda dan Pemangku Raja melambai tangan kepada orang ramai sambil kenderaan yang dinaiki bergerak perlahan dengan diiringi kenderaan pembesar negeri dan polis pengiring.

Laungan Allahuakbar dengan diiringi air mata gembira seakan tidak mampu ditahan kerana terharu, gembira kerana sultan mereka telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-15.

Baginda telah dipilih oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243, Oktober lepas. Baginda secara rasmi diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas istiadat mengangkat sumpah dan menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan di Istana Negara hari ini.

Terdahulu, istiadat keberangkatan Seri Paduka di Istana Negeri, Kubang Kerian di sini bermula seawal 7.50 pagi dengan penuh adat istiadat.

Baginda yang mengenakan persalinan rasmi Sultan Kelantan turut memeriksa Kawalan Kehormatan Utama.

Doa selamat dibacakan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, disusuli Kawalan Kehormatan Utama menyembahkan Hormat Diraja buat kali kedua, sebelum baginda berangkat ke LTSIP.

Rakyat jelata mengambil peluang menunggu ketibaan Tuanku dengan penuh sabar di laluan utama seperti  Jalan Sultan Yahya Petra, Jalan Pekeliling dan Jalan Tok Guru.

Tidak cukup dengan itu, persembahan kebudayaan termasuk tarian singa turut diadakan di 11 lokasi di sepanjang laluan itu.

Sebaik tiba di LTSIP, Sultan Muhammad V sempat memohon restu daripada bonda baginda, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid sebelum berangkat ke Kuala Lumpur.

Baginda juga sempat bersalaman dengan dif-dif kehormat, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Adun-Adun, Anggota Parlimen serta pegawai tinggi kerajaan dan rakyat jelata yang menanti untuk mengucapkan selamat berangkat kepada baginda di lapangan terbang. – HARAKAHDAILY 13/12/2016

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

6 projek bernilai RM150 juta bakal dilaksana AKSB

PASIR MAS – Sebanyak enam buah projek membabitkan nilai berjumlah RM150 juta bakal dilaksanakan dibawah Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) pada tahun hadapan. Exco Infrastruktur dan Utiliti, Datuk Hanifa Ahmad berkata, projek tersebut akan mula dilaksanakan pada Febuari atau Mac sekiranya mendapat persetujuan bersama dari Pengurusan Aset Air Berhad […]
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berunding bagi menstrukturkan semula projek bekalan air di negeri ini bermula sejak 2008, kata anggota Exco kerajaan negeri Datuk Hanifa Ahmad

Subscribe US Now