PASIR PUTEH – Dalam persiapan menghadapi banjir, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM800,000 bagi penyediaan bekalan makanan untuk mangsa bencana itu di negeri ini.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Muhammad Hanafi Maulud berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM500,000 disalurkan oleh kerajaan Persekutuan dan RM300,000 oleh kerajaan negeri.
“Peruntukan itu mencukupi bagi menampung 215,955 mangsa banjir,” katanya kepada pemberita selepas menutup Simulasi Pengurusan Bencana di pusat pemindahan mangsa Jajahan Pasir Puteh dan Machang di sini, hari ini.
Kira-kira 100 peserta terdiri daripada pegawai kerajaan Persekutuan dan Negeri serta badan bukan kerajaan (NGO) menyertai simulasi itu.
Muhammad Hanafi berkata bekalan makanan seperti beras, sardin, biskut, gula, susu dan air mineral sudah dihantar ke 17 pangkalan hadapan di seluruh negeri ini dan depot utama di Pangkalan Chepa.
Ini tidak termasuk kain selimut, tilam dan 2,500 khemah bagi menempatkan setiap keluarga. – Bernama