Royalti: Kerajaan Pusat tidak tunai janji

SAYA meneliti jawapan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam sesi soal jawab lisan pagi tadi mengenai isu royalti minyak. Pihak Menteri menegaskan bahawa janji 20 peratus royalti adalah berasaskan keuntungan dan bukannya berasaskan pengeluaran sepertimana difahami. Pendirian ini adalah selari dengan apa yang disebut oleh Perdana Menteri sebelum ini.

Kenyataan ini sesungguhnya amat mendukacitakan rakyat di negeri-negeri pengeluar petroleum kerana ia bertentangan dengan janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya yang lalu iaitu;

“Kerajaan PH akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak, serta negeri-negeri pengeluar petroleum yang lain, kepada 20 peratus atau nilai yang bersamaan, sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih adil” (muka surat 21).

Jelas dalam kenyataan manifesto di atas merujuk kepada hasil petroleum, bukannya keuntungan. Perkara ini juga dinyatakan dalam Perjanjian Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petroliam Nasional Berhad pada 9 Mei 1975 yang menyatakan pada fasal (1):

“Petronas shall make to the government cash payment in the form of yearly sum amounting to the equivalence of 5 percent of the value of the petroleum won and saved in Kelantan and sold by Petronas or its agents or contractors during the period provided in Clause 2”.

Malah, jawapan Perdana Menteri merujuk kepada Penyata Rasmi Parlimen bertarikh 12 November 1975 juga menjelaskan bahawa royalti dibayar berdasarkan “nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi di negeri-negeri masing-masing”.

Berdasarkan justifikasi yang dinyatakan, saya berpendirian jelas bahawa royalti adalah pembayaran wang tunai berdasarkan kepada pengeluaran (gross production). Ini juga konsisten dengan maksud asal royalti itu sendiri, berbeza dengan nama dividen dan sebagainya. Namun, pendirian kerajaan selepas memenangi pilihan raya adalah berbeza dari manifestonya. Sekali lagi rakyat tertipu.

Sekian.

“Sejahtera Bersama Islam”

YB DATO HJ CHE ABDULLAH MAT NAWI
Ahli Parlimen Tumpat.
25 Julai 2018 bersamaan 12
Zulkaedah 1439H – HARAKAHDAILY 26/7/2018

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15-tanah-air/7527-royalti-kerajaan-pusat-tidak-tunai-janji

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment