Rumah mangsa banjir nilai lebih RM100,000

webmaster

GUA MUSANG: Tiada ungkapan yang paling gembira apabila diberi kebenaran untuk berpindah ke rumah baharu di Simpang Tiga Kampung Pulai selepas dua tahun menumpang di kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN).

rumah-bah-4
Rumah bantuan banjir kurniaan Sultan Muhammad V kini dilengkapi prasarana

Sebanyak 44 rumah bantuan banjir yang dibina dana Tabung Bencana Negeri hasil kurniaan Sultan Muhammad V kini mulai diduduki mangsa-mangsa banjir.

Rumah tersebut siap sejak hampir setahun lepas. Bagaimanapun prasarananya sedang disiapkan termasuk longkang, elektrik, air dan jalan.

Bekas mangsa banjir Mohd Zamri Zakaria, 38 berkata, beliau mulai berpindah ke rumah baharu tersebut minggu lepas selepas diberi kebenaran Ketua Jajahan Gua Musang.

Katanya beliau terpaksa menumpang di kem PLKN dua tahun selepas rumah lamanya yang dibina di tanah milik Kereta Api        Tanah Melayu (KTMB) di Sungai Cindai Lama dihanyutkan arus banjir pada akhir 2014.

“Selepas bah besar kami bersama mangsa-mangsa banjir lain dipindahkan ke kem PLKN. Tinggal di situ lebih dua tahun dengan makanan disediakan pihak kerajaan.

“Bagaimanapun masalah ketiadaan bekalan air menyebabkan mangsa banjir terpaksa mengambil air di tempat lain,” katanya ketika ditemui di sini.

Mangsa-mangsa banjir yang dipilih menduduki rumah tersebut membuat pengundian lot rumah di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang Julai lepas.

Bagaimanapun difahamkan penyerahan kunci secara rasmi akan dilakukan November ini.

rumah-bah
Ustaz Suhaimi (kiri) bersama Mohd Zamri Zakaria di hadapan rumah baru miliknya

Mohd Zamri yang juga kakitangan Majlis Daerah Gua Musang melahirkan rasa bersyukur kerana tidak pernah mengimpikan rumah seperti itu selepas rumah asalnya rosak teruk.

Menurutnya beliau membayar deposit elektrik dan bekalan air sebanyak RM470. Nilai semasa rumah dan tanah dianggarkan kira-kira RM150,000 memandangkan kedudukan tidak jauh dari jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

“Saya dan isteri sudah membasuh rumah baharu ini biar pun belum mendapat kunci daripada kerajaan,” katanya.

Mat Ali Mat Hussin, 55, juga mangsa banjir sebelum ini tinggal di rumah setinggan di tanah rezab Sungai Galas. Rumah lamanya turut musnah akhir 2014.

rumah-bah-2
Mat Ali Mat Hussin berdiri di hadapan rumah baharu di Simpang Tiga Kampung Pulai

Biar pun mengalami kecacatan anggota badan, namun beliau tidak lupa merakamkan ucapan terima kasih kepada Istana Kelantan dan kerajaan negeri kerana memilihnya menduduki rumah di Simpang Tiga Kampung Pulai.

Beliau yang juga penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat dilantik sebagai guru al Quran.

Sementara itu Penyelia Dun Galas Ustaz Suhaimi Mat Deris berkata, rumah mangsa banjir tersebut lambat diduduki memandangkan proses penyediaan prasarana mengambil masa.

Katanya, sekarang jalan dan talian elektrik serta bekalan air sudah dipasang.

“Rumah berkembar dua mangsa banjir akan diduduki sepenuhnya tidak lama lagi selepas pengundi dilakukan Julai lepas,” katanya.

Fasa kedua projek rumah banjir di tapak yang sama sebanyak 38 unit lagi kini hampir siap sepenuhnya.

rumah-bah-3
Rumah bantuan banjir dibina Maik di Kampung Tanah Putih, Gua Musang

Manakala di Tanah Putih sebanyak 50 unit lagi juga sedang dalam pembinaan. Ia dibiayai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Selain itu sebanyak 16 lagi rumah jenis sebuah yang dibina kerajaan negeri di Kampung Lembaga sudah diduduki sejak tahun lepas.

Manakala 40 unit rumah banjir dikendalikan kerajaan pusat di Batu Papan juga diduduki selepas Hari Raya Aidilfitri lepas.

Sebahagian lagi mangsa banjir juga mendapat rumah di Projek Perumahan Rakyat di Bandar Baru Gua Musang. [HARAKAH]

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Mesej politik di sebalik isu Orang Asal

M FAQIH ISU berkaitan masyarakat Orang Asal seringkali mengisi ruang dalam media harian. Sejak dahulu sehingga sekarang ia tidak pernah sunyi. Tuntutan hak milik tanah, pembalakan, pembukaan ladang dan air sungai keruh sering dibangkitkan mereka. Pernah mereka menyertai demontrasi membantah kewujudan ladang tidak jauh daripada penempatan Orang Asal. Sedangkan kewujudan […]

Subscribe US Now