RUMAH NGAJI CAKNA MUALAF FASIH AL-QURAN

PASIR MAS – Persatuan Rumah Ngaji Malaysia aktif menyebarkan dakwah melalui Program World Quran Hour sejak tahun 2017.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK), Datin Norhani Afandi berkata setiap hari pasukannya merancang sesi bertemu khalayak sasaran supaya mereka faham kepentingan menjadikan al-Quran sebagai bacaan harian.

“Kita berhasrat untuk mewujudkan masyarakat yang sentiasa membaca, memahami dan mengamalkan segala isi al-Quran dalam menjalani kehidupan seharian,” jelasnya ketika merasmikan Rumah Ngaji Komuniti Mualaf di Pasir Mas, pada 10 Februari.

Majlis tersebut dihadiri 60 mualaf berbangsa Siam, Cina, Filipina dan Myanmar yang menetap di Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat.

Menurutnya, selain mengajar mualaf membaca al-Quran dengan sebutan yang betul berlahjah Arabiah, peserta juga berpeluang mengikuti sesi tadabbur kisah di dalam surah yang bersesuaian mengikut keperluan mereka.

Tambahnya, Rumah Ngaji Mualaf tersebut adalah yang pertama di Malaysia bagi kluster saudara baharu dan Program Klinik al-Quran sesi pertama dijadualkan bermula pada Jumaat, 17 Februari untuk 20 peserta perintis.

Beliau turut menyeru para penderma budiman untuk turut menginfak bagi menyediakan naskhah al-Quran cetakan eksklusif Karya Bestari kepada peserta terbabit.

Sumber

(Visited 27 times, 1 visits today)

Add Comment