Rumah rosak dihempap pokok

imageTANAH MERAH – Kegembiraan sebuah keluarga menyambut kedatangan Ramadan bertukar hiba apabila rumah mereka rosak teruk dihempap pokok dalam kejadian ribut di Kampung Chita Jaya, Batu 6 Luar, dekat sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5 petang pada hari kedua Ramadan itu menyebabkan salah satu bilik tidur dan ruang tamu kediaman enam beranak terbabit rosak teruk selepas pokok petai besar di hadapan rumah mereka tumbang.

Mangsa, Rohani Abu Hassan, 53, berkata, sejurus sebelum kejadian, dia bersama suami, Che Numrifin Yusoff, 52, dan empat anak mereka berlindung di ruang tamu kerana waktu itu, hujan lebat dan ribut petir.

“Bila hujan makin lebat dan angin semakin kuat, saya keluar ke pintu rumah untuk melihat keadaan di luar. Selang beberapa saat, saya nampak pokok petai di depan rumah tiba-tiba tumbang dan menghempap bilik di bahagian hadapan.

“Saya bersama suami dan anak-anak kemudian bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri dan berlindung di rumah jiran yang terletak di atas bukit berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Rohani, kejadian pokok tumbang itu menyebabkan bilik tidur di bahagian hadapan serta ruang tamu bersebelahan bilik terbabit rosak teruk terutama pada bahagian bumbung.

“Rumah papan ini rumah pusaka keluarga saya. Buat sementara waktu ini, kami terpaksa tinggal di bahagian rumah yang terselamat,” katanya yang menganggarkan kerugian dialami kira-kira RM10,000.

Sementara itu, Adun Kemahang, Mejar (B) Datuk Mohd Anizam Abd Rahman yang melawat mangsa kejadian ribut terbabit bersyukur kerana bencana tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh pihaknya, sebanyak empat rumah rosak dalam kejadian tersebut dengan kebanyakan rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung akibat zink diterbangkan angin.

“Buat permulaan, saya sampaikan bantuan segera daripada Tabung Serambi Mekah di bawah kerajaan negeri bagi meringankan beban penduduk yang terjejas,” katanya.

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment