Rang Undang-undang Persendirian yang dibawa Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta 355 melibatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah bukanlah satu tindakan yang tergesa-gesa.
Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar menyokong sepenuhnya usaha yang dibuat Abdul Hadi Awang.
“Dah 32 tahun akta ini tak dipinda. Apa yang tergesa-gesanya?” tegas Zainul Rijal dalam Wacana RUU 355 – “Kenapa Menentang?” di Madinah Ramadan, Kota Bharu.
Menurut beliau, usaha memartabatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah telah lama diperjuangkan termasuklah oleh tokoh perundangan Malaysia, Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim yang juga merupakan guru beliau.
“Saya ingat lagi semasa saya belajar di UIA pada tahun 1988 sampai 1992, (Allahyarham) Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim daripada awal-awal kuliahnya dia mengatakan bahawa kalau kita nak laksanakan undang-undang jenayah Syariah, Akta 355 ini perlu dipinda.
Perjuangan al-Marhum Profesor Tan Sri Ibrahim perlu diteruskan oleh anak didik-anak didik beliau termasuklah saya sendiri. Jadi kitalah yang perlu menggalas tanggungjawab ini,” seru Zainul Rijal.
Jelas Zainul lagi, bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah tidak lagi relevan dengan sosio ekonomi rakyat ketika ini. Sudah sampai masanya hukuman maksima 3 tahun penjara, denda RM5 ribu dan 6 sebatan dipinda.
“Nilai denda seribu (ringgit), empat ribu (ringgit) terlalu kecil berbanding tahun 1984,” tegas Zainul lagi.
Wacana RUU 355 – “Kenapa Menentang?” turut dibarisi panel Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’ Ustaz Haji Mohd Nassuruddin Daud dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Haji Takiyuddin Hassan.