KOTA BHARU: Sambutan tahun baru 2017 di Kelantan sekali lagi menyaksikan kelainan apabila dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah.
Selepas itu kuliah Maghrib akan disampaikan pendakwah bebas Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi. Selepas Isyak pula diadakan persembahan nasyid oleh Kumpulan One Deen.
Kemudian Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob akan menyampaikan amanat tahun baru. Program itu akan diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV pada 31 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata ikon anak muda, Ustaz Azhar Idrus juga akan memeriahkan sambutan tersebut.
“Penampilan khas kali ini di mana beliau akan bertindak sebagai moderator manakala anggota Exco Datuk Nassuruddin Daud sebagai panelis.
“Ustaz Nassuruddin akan ditanya Ustaz Azhar sebagai moderator program tersebut,” katanya pada persidangan media selepas mesyuarat Exco hari ini.
Program terrsebut dianjurkan Urusetia Belia dan Sukan. Selain itu artis Saiful Apek dan Juara Cub Prix, Keon turut diundang pada program berkenaan.
Manakala pada malam 29 Disember pula ceramah mega Anak Muda Pertahankan Kelantan juga diadakan di Dataran Stadium.
Ceramah tersebut membariskan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah, Naib Presiden PKR, Tian Chua, Datuk Seri Mohamad Badri Ab Rahman dari Ikatan, Setiausaha Penerangan PPBM Kelantan, Kamaruddin Kassim dan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari. – HARAKAHDAILY 21/12/2016