Satu juta kenderaan dijangka masuk Kelantan

KOTA BHARU – Dianggarkan lebih satu juta kenderaan perantau akan masuk ke Kelantan sempena perayaan Aidilfitri bermula malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, semua kenderaan itu masuk melalui tiga laluan utama iaitu Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli.

“Perantau pulang ke kampung halaman bagi menyambut perayaan bersama sanak saudara serta sahabat handai. Justeru harus diingatkan kepada pengguna jalan raya supaya berhati-hati memandu.

“Memandangkan aliran trafik dijangka meningkat sebanyak satu juta kenderaan sepanjang musim perayaan ini, maka kebarangkalian kemalangan juga akan bertambah,” katanya pada Majlis Pelancaran Op Selamat 13/2018 di Lebuhraya Pasir Mas-Salor, Bandar Baru Tunjong, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Din Ahmad; Timbalan Setiausaha Kerajaan, Datuk Adnan Hussin; Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II, Datin Dr Selasawati Ghazali dan Pengurus Lamar Gallery, Mohd Izuddin Che Ariffin.

Hasanuddin berkata, pengguna jalan raya perlu berhemah, bersikap positif dan lebih penting mempraktikkan sikap hormat-menghormati di atas jalan raya.

“Semua pengguna tidak sabar untuk tiba di destinasi masing-masing, oleh demikian mereka tidak boleh mementingkan diri sebaliknya perlu bersabar dan bertolak ansur bagi mewujudkannya suasana jalan raya yang selamat.

“Analisis menunjukkan sikap dan kecuaian adalah punca utama kemalangan jalan raya. PDRM dan agensi lain sentiasa menekankan sedaya upaya, namun soal keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab dan bergantung pada pengguna,” katanya. SINAR HARIAN 10/6/2018

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment