‘Saya jawab kerana sentuh Tok Guru’

webmaster

KOTA BHARU – Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan  Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah menegaskan, tindakan beliau membuat kenyataan balas mengenai konflik dirinya dengan Datuk Husam Musa kerana ia menyentuh isu yang berkait Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Anuar Tan berkata, memandangkan politik itu adalah persepsi, maka apa jua perkara negatif yang ditimbulkan perlu dijawab dengan fakta yang benar bagi membolehkan rakyat jelata menilai kembali perkara berkenaan.

“Jadi saya berharap sesiapa pun jangan memilih beberapa kelemahan untuk menjadi alasan bagi mengkritik polisi, dasar dan program Almarhum Tok Guru berbanding dengan beribu kejayaan yang telah dicapai semasa arwah menjadi ketua kerajaan Kelantan.

“Kita semua maklum tentang kehebatan Almarhum Tok Guru yang dihormati dan disayangi oleh masyarakat berbilang kaum dan pelbagai budaya di seluruh Malaysia. Saya masih ingat pada hari pengebumian Allahyarham, boleh dikatakan seluruh rakyat hadir termasuklah Perdana Menteri dan menterinya.

“Harapan saya agar Husam dapat terima jawapan saya dengan hati terbuka, kita semua menghormati Almarhum Tok Guru dan demi mempertahankan legasi beliau serta kerajaan negeri yang mengamalkan dasar Membangun Bersama Islam sebagai corak pembangunan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas konflik berterusan beliau dengan Husam selepas berlakunya perdebatan dan perang mulut dalam Sidang Dun baru-baru ini, yang menyaksikan speaker terpaksa menangguhkan sidang Dewan.

Mengulas lanjut, Anuar Tan berkata, dalam isu Ladang Getah Klon Balak (TLC), sebagaimana kenyataan balas Husam mengenai lesen enam syarikat disenaraikan itu, tarikh yang diberikan itu adalah untuk memulakan kerja-kerja pembalakan dan bukan kelulusan baru.

“Begitu banyak syarat dan prosedur yang wajib dilaksanakan dari tarikh kelulusan dasar dibuat oleh Jawatankuasa Kecil Perhutanan sehingga diberikan lesen kuat kuasa gerak kerja untuk penuhi semua syarat dan prosedur yang memerlukan jangka masa bertahun-tahun lamanya.

“Saya ingin tegaskan, pada zaman pentadbiran Datuk Ahmad Yakob tidak ada satu pun kelulusan dasar TLC.

“Ini bermakna semua program ini diluluskan pada zaman arwah Tok Guru dan disusulkan dengan lesen berkuat kuasa untuk pelaksanaan pada tahun-tahun kemudiannya,” katanya yang mengakui episod panas Sidang Dun perlu ditangani dengan perspektif dan dimensi lebih harmoni.

Menyentuh isu Ladang Rakyat, Anuar Tan berkata, sebagaimana kenyataan Husam melalui laporan audit pada tahun 2011, antara lain telah menyebabkan lima kelemahan di dalam pengurusan Perbadanan Ladang Rakyat menyebabkan bekas Exco kerajaan negeri itu mengakui beliau tidak lagi menghadirkan diri ke mesyuarat selepas itu.

“Kita sedia maklum, semua ahli lembaga termasuk Datuk Husam yang dilantik oleh arwah Tok Guru adalah anggota berwibawa, berilmiah dan mempunyai kepakaran masing-masing serta ada misi dan visi untuk membawa kejayaan, kemajuan serta pembangunan kepada mana-mana entiti GLC dalam kerajaan termasuklah Perbadanan Ladang Rakyat.

Jelasnya sepanjang empat penggal beliau sebagai Exco, jarang sekali masalah besar yang memerlukan campur tangan Mesyuarat Exco termasuklah lima perkara dan isu ladang rakyat disebut Husam, bahkan lima perkara itu tidak pernah disediakan kertas Exco, mahupun dibincangkan untuk diselesaikan.

“Tidak dinafikan di mana-mana organisasi, GLC, kerajaan negeri bahkan negara di dunia ini pasti akan timbul pelbagai masalah dan kelemahan, kesemua faktor ini bukanlah kelemahan dasar atau polisi tetapi mungkin didorong oleh kelemahan semasa proses pelaksanaan kerana melibatkan begitu ramai pelaksana.

“Maka tidak dinafikan akan terdapat kelemahan semasa pelaksanaan dan perkara itu perlu dibaiki dan boleh dibaiki jika dimaklumkan secara berhemah,” katanya. [SINAR HRIAN]

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

PKINK rancang sedia 5,000 peluang pekerjaan

KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menawarkan 5,000 pekerjaan kepada anak Kelantan dalam pelbagai bidang kerja tempoh 10 tahun akan datang. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Dr Wan Zawawi Wan Ismail berkata, ia merupakan perancangan dalam tempoh 10 tahun dalam bidang hartanah, pertanian dan perlombongan yang  memberi hasil […]

Subscribe US Now