Sediakan insurans, beca bermotor bantu penarik

KOTA BHARU – Kerajaan negeri berusaha memberi fokus terhadap penarik beca dengan akan menyediakan insurans perlindungan, khidmat beca di hotel dan beca bermotor.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, ketiga-tiga usaha berkenaan masih dalam perbincangan bagi membantu penarik beca.

“Kami akan aturkan beberapa kebajikan untuk penarik beca tidak bernasib baik terutama mereka yang mempunyai anak ramai serta rumah tidak selesa.

Md Anizam (kanan, atas beca) diraikan oleh penarik beca di Gelanggang Seni, hari ini.

“Kerajaan negeri juga merancang akan menyediakan insurans kepada setiap pengayuh melibatkan beberapa skim disebabkan umur, ada yang paling muda 25 tahun dan paling tua 55 tahun untuk perlindungan kepada penarik beca,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 28 penarik beca pada Majlis Sehari Bersama Penarik Beca dengan melibatkan bantuan wang RM100 setiap penarik beca dan barangan makanan bernilai RM100 setiapnya.

Md Anizam berkata, pihaknya kini juga turut mengadakan perbincangan bagi menambah pendapatan penarik beca dengan membenarkan khidmat mereka di hotel-hotel termasuk penyertaan program di sekitar Tambatan Diraja dan kekal mengayuh di kawasan Pasar Siti Khadijah.

“Bagi menarik pengayuh muda, kita juga tertarik untuk menyediakan beca bermotor seperti perkhidmatan di Acheh, Indonesia dan buat masa ini kita berbincang perkara ini dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri.

“Kita fikirkan ke arah kepantasan beca itu bergerak dan setakat ini terdapat satu beca yang menggunakan bateri.

“Bagaimanapun, kita mahu biarlah perkhidmatan yang dilaksanakan setimpal dengan pendapatan, sebab itulah kita berusaha ke arah beca bermotor, lagipun kita percaya, orang muda pun akan berminat menjadi pengayuh beca bermotor,” katanya. – SINAR HARIAN 15/12/2016

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment