Selama 3 Dekad Pentadbiran Ulamak Diterima Rakyat

oleh Nik Azman Nik Mustafa

KOTA BHARU – Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah telah melakukan lawatan di Pameran 3 Dekad Kelantan Membangun Bersama Islam yang diadakan selama dua bulan bermula November hingga Disember ini di Muzium Negeri hari ini.

Turut mengiringi beliau, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, YB Mejar (B) Dato’ Md. Anizam Ab. Rahman, Pengarah Muzium Negeri, Ahmad Shargowi Derahman, Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri, Haji Zulkifli Mamat dan Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Negeri (TIC), Nik Mahmud Nik Jaffar.

Pada sidang media, YB Dato’ Mohd Amar menjelaskan, kejayaan besar kerajaan Kelantan selama 3 dekad ialah berhasil membentuk pemikiran masyarakat dengan kefahaman bahawa dasar Islam mampu menjadi asas pentadbiran negeri.

Katanya, ia dapat dibuktikan melalui kejayaan Kelantan di bawah kepimpinan ulamak berslogankan “Membangun Bersama Islam” yang telah banyak menempah kejayaan dan kecemerlangan dalam pengurusan dan pentadbiran negeri selama ini.

“Antara perkara yang boleh kita banggakan selama 3 dekad ini ialah pentadbiran kerajaan Kelantan bebas rasuah,” katanya.
Ketika ditanya berkaitan Bajet 2021 oleh Perdana Menteri, beliau mengharapkan supaya bajet tersebut lebih memfokuskan kepada menangani wabak Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara.- 2/11/20 UPKN KELANTAN

(Visited 25 times, 1 visits today)

Add Comment