KETEREH : Semua kaum di Kelantan mendapat tempat dalam agenda pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, kata Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob.
Beliau berkata, kerajaan sememangnya mengamalkan semangat toleransi antara empat kaum besar di Kelantan iaitu Melayu, Cina, India dan Siam.
Sehubungan itu beliau mengingatkan supaya pegangan agama dan adat resam yang berlainan antara kaum tidak dijadikan asas permusuhan sesama rakyat sebaliknya diminta menjalinkan hubungan yang harmoni antara satu sama lain.
Pihak kerajaan berusaha untuk mewujudkan kemerdekaan hakiki. Sebab itu kita tidak mahu masyarakat terus terjajah disebabkan permusuhan sesame sendiri,” katanya yang menjelaskan matlamat kerajaan untuk menjadikan Kelantan ‘sebuah negeri yang sejahtera dan masyarakatnya mendapat keampunan dari TuhanNya,” seperti mana yang disebut dalam al- Quran.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan hari kemerdekaan kali ke-59 peringkat negeri Kelantan yang diadakan di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh.
Majlis merupakan kemuncak sambutan kemerdekaan di negeri ini yang bermula dengan pelancaran kibaran Jalur Gemilang pada 16 Ogos lalu di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV.
Kemuncak sambutan tersebut sebanyak 59 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan merdeka yang membabitkan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Turut diadakan pembacaan puisi kemerdekaan dan anugerah perbarisan terbaik dalam majlis dihadiri lebih 2,000 rakyat Kelantan.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota- anggota exco kerajaan negeri, wakil- wakil rakyat, pegawai kanan kerajaan negeri dan Persektuan.- (OLEH MUHAMMAD ARIF ISMAIL- HARAKAH BIL 2178/ 5-8 SEPT 2016)