JUZ 1 “Bumi Allah Untuk Dimakmurkan”

webmaster

Sentuhan hidayah menerusi ibrah para Anbiya’ dan Solehin melalui JUZ 1⃣

“Bumi Allah Untuk Dimakmurkan”

Melalui Juz 1, Allah SWT telah menyebut perihal penciptaan Nabi Adam A.S serta tugas Baginda sebagai Khalifah di muka bumi. Apabila Allah mengarahkan para Malaikat supaya sujud kepada Nabi Adam A.S, mereka menyedari bahawa Nabi Adam adalah makhluk Allah yang mengetahui sesuatu yang tidak mereka ketahui. Ini adalah suatu kurniaan yang Allah anugerahkan kepada Nabi Adam sebagai khalifah di muka bumi yang akan menguasai serta memimpin manusia dengan ilmu dan pengetahuan.

Oleh kerana itu, Allah SWT telah mengajar Nabi Adam A.S dengan pelbagai nama-nama benda yang ada di alam semesta dan kemudian Allah meminta para Malaikat-Nya menyebut nama-nama tersebut tetapi ternyata mereka tidak dapat menyebutnya. Tujuannya adalah untuk menghilangkan tanggapan rendah para Malaikat terhadap Adam dan menyakinkan mereka akan kebenaran hikmat-Nya yang akan menjadikan Adam A.S sebagai penguasa di muka bumi. Firman Allah SWT dalam hal ini:

وَعَلَّمَ اٰدَمَ الۡاَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى الۡمَلٰٓـئِكَةِ فَقَالَ اَنۡۢبِـُٔوۡنِىۡ بِاَسۡمَآءِ هٰٓؤُلَآءِ اِنۡ كُنۡتُمۡ صٰدِقِيۡنَ‏. قَالُوۡا سُبۡحٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَآ اِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَا ؕ اِنَّكَ اَنۡتَ الۡعَلِيۡمُ الۡحَكِيۡمُ‏. قَالَ يٰٓـاٰدَمُ اَنۡۢبِئۡهُمۡ بِاَسۡمَآئِهِمۡ​ۚ فَلَمَّآ اَنۡۢبَاَهُمۡ بِاَسۡمَآئِهِمۡۙ قَالَ اَلَمۡ اَقُل لَّـكُمۡ اِنِّىۡٓ اَعۡلَمُ غَيۡبَ السَّمٰوٰتِ وَالۡاَرۡضِۙ وَاَعۡلَمُ مَا تُبۡدُوۡنَ وَمَا كُنۡتُمۡ تَكۡتُمُوۡنَ‏.

Maksudnya: Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada Malaikat lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar Malaikat itu menjawab: Maha suci Engkau (Ya Allah) kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; Sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Allah berfirman: Wahai Adam, terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”. (Al-Baqarah: 31-33)

Allah mengetahui akan kekurangan manusia dan sebagai persiapan menjadi pemakmur di muka bumi, Allah telah mengajarkan mereka ilmu pengetahuan. Dengan ilmu inilah manusia mampu mentadbir urus muka bumi dan memimpin golongan mereka dengan adil dan sejahtera. Allah SWT menjadikan muka bumi dengan segala kelengkapannya untuk didiami oleh manusia. Bumi yang dihuni ini perlu diurus tadbir dengan kaedah dan disiplinnya tersendiri berbekalkan ilmu pengetahuan. Oleh itu, usaha mempelajari ilmu sangat dituntut dalam Islam dan tiada had tempoh waktu tamat belajar dalam menuntut ilmu. Ibrah daripada kisah Nabi Adam A.S ini juga menegaskan kepada umat Islam khususnya dan masyarakat dunia umumnya bahawa dunia ini akan porak-peranda sekiranya diurus oleh pentadbir yang jahil dan tidak berlandaskan ilmu yang betul.

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
01 Ramadhan 1440H

Sumber: https://www.facebook.com/DatoAhmadYakob/posts/1015618761961574

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Daurah al-Quran makin dapat sambutan

KOTA BHARU: Program Daurah al-Quran yang diadakan di Madinah Ramadan sempena Ramadan semakin mendapat sambutan orang ramai. Program harian yang diadakan sepanjang Ramadan bermula jam 9.00 pagi berakhir sehingga solat Zohor. Ia diisi sesi bacaan ayat-ayat al Quran oleh qari jemputan, manakala terjemahan dan kupasan terperinci disampaikan pakar dalam bidang berkaitan. […]

Subscribe US Now