KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad K-V menyeru semua pihak dapat mengambil langkah sewajarnya bagi menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu.
Titah baginda lagi, harapan berkenaan dizahirkan sempena perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-47 di sini.
Sultan Muhammad V bertitah, pertumbuhan ekonomi global yang perlahan dengan unjuran sekitar 3.4 peratus pada tahun ini telah memberi kesan ketara kepada kebanyakan ekonomi negara di dunia termasuk Malaysia.
“Ditambah pula dengan perkembangan semasa politik di Amerika Syarikat yang menyebabkan peningkatan mendadak nilai mata wang dollar,” titah baginda.
Baginda bagaimanapun yakin kerajaannya telah bersedia mengharungi cabaran dengan perancangan yang teliti dan mampan.
“Terutamanya dalam mengukuhkan sumber kewangan negeri dan menyuburkan ekonomi rakyat,” titah baginda lagi.
Terdahulu baginda menyempurnakan pengurniaan kehormatan kebesaran negeri, bintang-bintang, pingat-pingat penghormatan kepada 608 penerima.
Pada masa yang sama, baginda bersyukur dengan amanah diberikan bagi memegang jawatan Yang Dipertuan Agong ke-15.
Menurut baginda lagi, ia akan ditabalkan pada 13 Disember ini.
“Beta mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan doa berterusan dari semua pihak terutamanya rakyat Kelantan yang sentiasa mendoakan kesejahteraan beta.
“Sepeninggalan beta nanti adalah menjadi harapan beta agar negeri ini terus ditadbir dan dibangun secara seimbang dan makmur,” titah baginda.
Sambung baginda lagi, ia mesti dibangunkan dengan kemajuan zaman tetapi tidak mengenepikan agama dan sosio ekonomi rakyat.
Sementara itu, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Tengku Temenggong yang mewakili kerabat DiRaja Kelantan yang melafazkan sembah ucap tahniah sempena keputeraan baginda.
Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob pula mewakili kerajaan dan rakyat Kelantan seluruhnya.
Turut hadir pada majlis itu Tengku Mahkota Kelantan, kerabat-kerabat diraja, Timbalan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan lain-lain pembesar kerajaan negeri, Persekutuan.
sultan kelantan ketika bertitah sempena keputeraan baginda ke-47 di istana Balai Besar. – HARAKAHDAILY 13/11/2016