Serangan Paris; Mesej dari Kelantan

webmaster

SERANGAN DI PARIS ADALAH BERTENTANGAN DENGAN AJARAN ISLAM
Islam adalah agama keamanan yang sangat mementingkan aspek keselamatan dalam negara dan mengecam keras pihak yang berusaha mewujudkan kemudharatan apatah lagi pembunuhan antara manusia.
Dalam agama Islam, seseorang yang membunuh nyawa sendiri adalah dianggap penjenayah besar dan akan dihumban dalam neraka jahanam. Maka bayangkan kesalahan membunuh orang lain, ianya sudah tentu mendapat hukuman yang sangat menakutkan di Akhirat kelak. Sabda Nabi SAW:
من قتل نفسه بحديدة فحديدته في يده يتوجأ بها في بطنه في نار جهنم خالدا فيها أبدا
Maksudnya: Barangsiapa yang membunuh dirinya dengan menggunakan besi maka tangannya akan melukai sendiri perutnya di dalam neraka jahanam dan dia kekal disitu selamanya. (Riwayat Bukhari)
Perbuatan jenayah membunuh dilokasi orang awam sekalipun dikalangan mereka ada penjenayah besar, adalah terlarang dan Islam mengharamkannya. Islam tidak menjadikan kekufuran manusia itu sebagai sebab halal darah mereka sebagaimana yang dipegang oleh beberapa golongan yang mendakwa kumpulan jihad Islam tetapi pada hakikatnya berlawanan tindakan mereka dengan ajaran Islam. Dalam hal ini Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Prof. Dr Yusof Al-Qaradhawi ada menyebut dalam fatwanya:
من قال أن دم الكفار مباح دون سبب؟ وحتی لو كانوا من المحاربين للمسلمين فلا يجوز قتال المدنيين
Maksudnya: Siapa yang kata darah orang kafir harus ditumpahkan tanpa apa jua sebab? Sehinggakan orang kafir yang sememangnya memerangi orang Islam, mereka tidak boleh dibunuh ketika berada bersama orang awam.
Malah dalam peperangan sekalipun, Islam tidak membenarkan tentera Islam membunuh orang yang sudah tidak upaya seperti orang tua, kanak-kanak dan wanita. Sabda Nabi SAW:
ولا تقتلوا شيخا فانيا ولا طفلا صغيرا ولا امرأة
Maksudnya: Dan jangan kamu membunuh orang yang sudah tua, kanak-kanak dan orang perempuan. (Riwayat Abu Daud)
Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan yang sekian lama mentadbir dengan dasar Membangun Bersama Islam mengutuk serangan ganas yang telah mengorbankan hampir 200 nyawa dan mencederakan rakyat awam yang lain di Paris, Perancis. Saya berharap agar pihak media Nasional dan Antarabangsa dapat melaporkan kejadian tersebut dengan adil dan tidak mengaitkan kejadian ini dengan kemuliaan agama Islam yang sangat menegah umatnya daripada perbuatan jenayah tersebut.
USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAKOB
Menteri Besar Kelantan

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Lapangan terbang: Harap titah sultan jadi kenyataan

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata berdasarkan kepada latar belakang penerima anugerah Kehormatan Negeri Kelantan Tahun 2015, bukan dari kalangan orang politik dan ahli akademik sahaja, bahkan mereka terdiri dari kalangan ahli perniagaan dan tokoh-tokoh masyarakat. “Ini menunjukkan kecaknaan tuanku, dengan mengambil kira semua lapisan […]

Subscribe US Now