SIARAN AKHBAR BERKAITAN ISU PERMASALAHAN AIR DI TAMAN SRI PAUH, TEMANGAN, MACHANG KELANTAN

webmaster

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) ingin memberi penjelasan berkaitan isu tersebut berdasarkan sungutan pengguna di Taman Perumahan Sri Pauh, Temangan yang disiarkan oleh Media elektronik semalam.
AKSB amat menyedari terhadap keperitan penduduk di kawasan perumahan tersebut dan pihak AKSB telah dan sedang membuat beberapa langkah bagi mengatasi masalah ketiadaan air.

Untuk pengetahuan umum, dakwaan penduduk setempat yang mengatakan bekalan air hanya dibekalkan pada akhir Ramadhan baru ini adalah tidak tepat. Ini adalah berdasarkan rekod, penghantaran air dari rumah ke rumah telah dimulakan semenjak awal 2015.

Namun pada Mac 2016, AKSB Machang telah menggunakan kaedah menyediakan dua buah tangki air statik dengan kapasiti 3,000 gelen dan 5,000 gelen. Kekerapan penghantaran untuk mengisi kedua-dua tangki ini ialah dua kali seminggu dan lebih kerap bergantung atas permintaan contohnya seperti kenduri dan cuti sekolah.

Sehingga minggu terakhir Ramadhan tahun ini, penghantaran masih dilakukan pada 05, 07, 09 dan 11 Julai dengan dua kali penghantaran setiap hari sepertimana tarikh di atas.

Bagi pembekalan air bersih ke kawasan tersebut, pada masa ini ianya berpunca dari Loji Bukit Remah Tanah Merah. Berikutan kedudukan Taman Sri Pauh ini dari geografinya, lebih tinggi dari kawasan sekitar yang mempunyai bekalan air yang sama, maka bekalan air hanya dapat diperolehi pada penghujung waktu malam sahaja akibat tekanan pada siang hari amat rendah.

Akibat dari musim perayaan baru-baru ini, permintaan air bersih di kawasan tersebut turut meningkat dan AKSB telah membuat peghantaran air secara lebih kerap. Sebagai langkah proaktif juga, AKSB akan menaikkan kekerapan penghantaran air dari dua kali seminggu kepada tiga kali seminggu bermula pada 17 Julai nanti.

AKSB juga mempunyai perancangan jangka panjang dan pendek bagi mengatasi permasalahan ini. Salah satu ialah memasang paip pintasan yang akan melalui kawasan lebih rendah yang sebelum ini laluan paip ke Taman Sri Pauh adalah melalui kawasan berbukit dan menyebabkan tekanan air menjadi rendah. Projek jangka pendek ini akan dimulakan dalam masa seminggu dan mengambil masa dua minggu untuk disiapkan sepenuhnya.

Sementara itu bagi penyelesaian jangka panjang pula, AKSB telah membaikpulih tangki air lama Temangan sebagai persediaan apabila Loji Merbau Chondong siap dinaiktaraf kepada 124 juta liter sehari pada akhir 2016. Tangki Air Temangan ini dijangka mampu menyelesaikan masalah tekanan rendah di Taman Sri Pauh dan kawasan sekitarnya nanti.

Dato’ Hj Hanifa Bin Ahmad
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti Dan Teknologi Maklumat
07 Syawal 1437 Hijrah / 12 Julai 2016

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

AKSB sediakan 3 pelan selesai masalah air di Temangan

Masalah air di Taman Sri Pauh, Temangan dilihat kritikal dan mempalitkan imej buruk kepada Kerajaan Negeri Kelantan. Walhal, kebenarannya tidaklah seburuk itu. Ikuti pendedahan sebenar di sebalik propaganda media arus perdana. Silakan share jika bermanfaat....Facebook0TwitterPrint

Subscribe US Now