“Skandal Dana SRC International : Pendedahan Muhyiddin Wajib Disiasat”

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
18 Jamadilawwal 1437 | 27 Februari 2016

“Skandal Dana SRC International : Pendedahan Muhyiddin Wajib Disiasat”


Tulisan terbaru Tan Sri Muhyiddin Yasin yang mengulas berhubung penggantungannya daripada jawatan Timbalan Presiden Umno turut menyatakan fakta yang sangat menarik. Dinyatakan dengan jelas bahawa dalam isu dana daripada SRC International sebanyak RM42 juta yang dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ialah merupakan perbuatan jenayah. Menurut Muhyiddin, beliau telah ditunjukkan bukti yang sah berhubung jenayah ini oleh mantan Peguam Negara. Adalah difahami bahawa mantan Peguam Negara yang dimaksudkan itu ialah Tan Sri Ghani Patail yang telah ditamatkan kontrak pada 27 Julai 2015.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat fakta jelas yang disebut oleh Muhyiddin di dalam tulisannya ini memerlukan satu siasatan yang sangat serius. Tanpa berselindung lagi, Muhyiddin telah membuat satu kesimpulan bahawa Perdana Menteri yang juga Presiden Umno telah terlibat dengan jenayah skandal wang berjumlah RM42 juta. Lebih serius lagi bahawa individu yang mendedahkan isu tersebut kepada beliau ialah mantan Peguam Negara sendiri yang bertanggungjawab untuk menjalankan pendakwaan di negara ini.

DPPM bersama rakyat Malaysia pastinya tertanya-tanya adakah penamatan kontrak Ghani Patail sebelum ini benar-benar di atas faktor kesihatan seperti yang disebut-sebut  ataupun mahu menyelamatkan Najib daripada didakwa di kandang mahkamah? Secara logiknya, jika tulisan Muhyiddin ini benar, terdapat keraguan yang munasabah di sebalik sebab sebenar Ghani Patail ditamatkan kontrak.

DPPM mendesak pihak berkuasa segera menyiasat isu ini. Dakwaan Muhyiddin sangatlah serius kerana ia membabitkan nama baik seorang Perdana Menteri. Adalah tidak munasabah pada saat seorang wanita di Sepang beberapa hari lepas telah dihadapkan ke mahkamah kerana menghina Perdana Menteri di laman sosial, tiba-tiba tulisan Muhyiddin ini  dibiarkan berlalu tanpa apa-apa tindakan.

Tindakan segera wajib diambil. Muhyiddin Yasin boleh dipanggil bila-bila masa untuk memberikan keterangan lanjut. Rakyat perlukan maklumat sebenar. Sebarang kelewatan dan kegagalan untuk menyiasat isu ini seolah-olah akan mengesahkan bahawa negara ini sedang dipimpin oleh seorang penjenayah.

Sekian.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment