KOTA BHARU: Skuad ‘Gonyoh Gaha Sampai Bersih’ menerusi lagi kerja kebajikan dengan membersihkan pelbagai lokasi yang terlibat dengan kejadian banjir.
Bencana gelombang kedua yang melanda Kelantan melibatkan beberapa kawasan di negeri ini seperti Kota Bharu, Ketereh, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Bachok.
Situasi tersebut mengakibatkan kemusnahan yang bukan sedikit bahkan banyak harta benda penduduk terpaksa dibuang gara-gara banjir sehingga paras dada.
Justeru, inisiatif yang dilaksanakan oleh gabungan 11 NGO itu mendapat reaksi yang baik daripada penduduk yang mengalami kehilangan harta benda serta kesusahan.
Antara NGO itu ialah Misi Kembara Dakwah, Kelab Muda Kuala Krai, Jabatan Amal Cawangan Ketereh, Jurugambar Prihatin dan Yayasan Amal Malaysia.
Selain itu, Street Dakwah Kota Bharu, PIBG Sekolah Kebangsaan Ketereh, Gasak, Sukarelawan Mesra dan Kelab Budi Penyayang turut memeriahkan aktiviti itu.
Salah seorang penduduk Kampung Sri Kulim yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), Mohd Iskandar Yusoff, 50 ternyata sangat gembira dengan perhatian skuad itu.
Salah satu tangannya tidak bergerak kerana kemalangan yang dihadapi 20 tahun dan kini beliau terpaksa membuat sebarang kerja dengan tangan kiri.
Ketika skuad itu tiba di rumahnya, beliau kelihatan sedang menyodok pasir seorang diri yang bertaburan sehingga ke seberang jalan akibat dilarikan air banjir.
“Saya gembira sangat-sangat, kalau saya buat ini seorang diri, boleh jadi seminggu lagi baru sudah,” katanya di kediaman Program Bantuan Rakyat.
Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu menceritakan, banjir kali ini diibaratkan seperti tsunami kecil apabila air bah masuk ke dalam rumah dalam waktu singkat.
Tragedi tersebut menyebabkan beliau sekeluarga tidak dapat menyelamatkan diri kerana arus air terlalu laju menyebabkan Iskandar membuat keputusan nekad.
Pelbagai pihak dihubungi termasuk 999 ketika saat-saat getir itu, tetapi tiada pihak berkuasa tampil untuk menyelamatkan lima beranak itu.
Akhirnya anggota polis dari Jeli yang merupakan kenalannya ketika bertugas di Melor hadir memberi bantuan menghantarnya ke pusat pemindahan di Kedai Melor.
Seramai 60 sukarelawan terlibat membersihkan lebih 20 tempat pada program yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Dr. Yusnan Yusof.
Sekolah Menengah Ugama (Arab) Khairiah Melor dan Masjid Mahmudi Mukim Melor merupakan lokasi pertama dibersihkan dengan kerjasama pelajar sekolah itu.
Dalam masa sama, skuad berkenaan turut membersihkan kediaman penduduk di Kampung Sri Kulim, Melor dan sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) al Ariff.
Kerja-kerja pembersihan bermula pada jam 10 pagi dan selesai pada jam 12 tenghari sebelum bergerak ke kediaman Ketua Muslimat Dun Melor di Taman Kala Perdana.
Di rumah Norhanan Mohd Nor, semua anggota skuad itu berbincang serta bertukar pandangan bagi tindakan seterusnya ke Limbat, Pasir Tumboh dekat sini.
Antara kriteria yang dikenal pasti ialah keluarga miskin, orang kurang Upaya (OKU), Ibu Tunggal termasuk kepimpinan pemuda PAS Kelantan yang terlibat.
Banjir yang bermula jumaat lalu turut mengakibatkan kediaman Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Fadhli Shaari mengalami kemusnahan teruk.
Kehadiran skuad ‘gonyoh gaha’ sampai bersih di kediaman di Banjai Limat itu diketuai oleh Ahli Jawatankuasa Yayasan Amal Malaysia cawang Kelantan, Abu Bakar Ibrahim.
Tetapi kerja pembersihan itu terpaksa dihentikan menjelang waktu petang kerana peserta masing-masing mempunyai komitmen lain yang terpaksa dipenuhi.
Ada juga kediaman anak yatim dibersihkan oleh peserta skuad di belakang Sekolah Menengah Long Ghaffar, Pasir Tumboh dekat sini pula diketuai oleh Pengarah Program, Mohd Khalik Mat Zari.
Selepas kerja berkenaan selesai, semua peserta kembali ke Masjid Mahmudi Mukim Melor bagi berehat seterusnya pulang ke kediaman masing-masing. – HARAKAHDAILY 24/1/2017