Skuad bersih terus bekerja walau cuaca tidak dijangka

KOTA BHARU:  Seramai 3,008 orang mangsa dari 842 buah keluarga masih lagi menginap di 19 pusat pemindahan banjir di Kelantan.

Jumlah itu semakin berkurangan berbanding 11,583 orang ketika kemuncak banjir gelombang kedua yang ditempatkan di 66 buah pusat pemindahan di lapan buah jajahan baru-baru ini.

Kini hanya empat jajahan yang masih berhadapan situasi itu, Jajahan Pasir Putih, Pasir Mas, Kota Bharu dan Kuala Krai.

Laporan eBanjir Kelantan yang dikemaskini hampir jam 9.00 pagi tadi menyebut Jajahan Pasir Putih paling ramai mangsa banjir yang masih tinggal di 10 pusat pemindahan banjir membabitkan 2549 orang dari 698 keluarga.

Jajahan Pasir Mas tempat kedua paling ramai dengan jumlah mangsa banjir 435 orang dari 149 keluarga di tujuh buah pusat pemindahan banjir.

Sementara itu bagi Jajahan Kota Bharu seramai 157 orang dari 54 keluarga di tiga tempat pusat pemindahan.

Kuala Krai hanya 44 orang dari 10 keluarga yang masih ditempatkan di dua tempat pusat pemindahan banjir.

Sehingga kini lapan jalan masih ditutup pada orang ramai khususnya kenderaan ringan, antaranya Jalan Sekolah Cina Rantau Panjang, Jalan Pasir Mas-Pohon Tanjung, Jalan Pengkalan Kubur-Jeram Perdah.

Bagi Jajahan Pasir Putih pula, Jalan Padang Pak Amat-Kampung Merkam, Jalan Jelor-Lubok Tualang. Jajahan Tumpat hanya sebuah jalan yang masih ditutup, Jalan Pengkalan Kubor-Kampung Jambu.

Hanya Jalan Pengkalan Rakit-Batu Karang dalam Jajahan Pasir Mas ditutup pada semua kenderaan.

Sementara itu, air sungai di negeri ini masing-masing telah melepasi amaran, kecuali Sungai Rantau Panjang-Golok masih diparas bahaya, 9.61meter sehingga jam 11.00 pagi tadi.

Manakala Sungai Galas-Dabong kini ditahap amaran 35.80 meter bermula pukul 5.00 pagi tadi berbanding sebelumnya 34.88 meter.

Sebahagian tempat mendapati taburan hujan khususnya di Hulu Kelantan masih tinggi.

Laporan eBanjir Kelantan bermula 12.00 malam tadi sehingga 7.00 pagi ini mendapati kawasan Gunung Gagu 1 dan Gagau 2 di Gua Musang menunjukkan taburan hujan agak tinggi.

Sementara itu, Skuad Gonyoh Gaha akan memulakan operasi mereka di Kampung Mahligai Melor, Kampung Tasik untuk mencuci kediaman mangsa banjir di kampung tersebut.

Setiausahanya, Dr Wan Martina Wan Yusof, berkata pihaknya turun ke bawah untuk membantu mangsa banjir membersih kawasan dan rumah mereka.

Katanya, memandangkan skuad yang turun tidak begitu ramai, hanya kediaman OKU, warga mas dan golongan tidak berkemampuan sahaja dipilih.

“Alhamdulillah hari ini seramai 25 orang petugas akan turun bersama,” ujarnya.

Antara Ngo yang turun bersama skuad itu hari ini Misi Kembara Dakwah, Jurugambar Prihatin, Mesra dan Jabatan Amal Kelantan. – HARAKAHDAILY 24/1/2017

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment