PENGKALAN CHEPA: Bermula dengan Liga Dun, Liga Parlimen dan Piala Tok Guru kira-kira 10 tahun dahulu kini kerajaan negeri berbangga dapat melahirkan sebuah pasukan bola sepak baharu.
Pasukan itu dikenali MPKB-BRI U-Bes FC beraksi sulung malam tadi di Stadium Sultan Muhammad Ke IV bagi membuka tirai Piala FAM tahun ini.
Biar pun kecundang dengan agregat 0-2 kepada Kelab Bola Sepak Kementerian Kewangan (MOF FC), namun kejayaan mewujudkan sebuah pasukan bola sepak dengan acuan sendiri begitu membanggakan.
Kelainan pasukan itu apabila setiap pemain diwajibkan berpakaian menutup aurat dengan mengenakan seluar ketat (tights) di bahagian dalam dan seluar pendek biasa di luar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan negeri berusaha hampir 10 tahun bagi melahirkan sebuah pasukan bola sepak sendiri.
Katanya Urusetia Pembangunan Belia dan Sukan mengendalikan Akademi Bolasepak U-Bes selepas berjaya menganjurkan Liga Dun bagi merebut Piala Tok Guru.
“Hari ini kita berjaya menubuhkan sebuah pasukan yang turut bersaing dalam kejohanan Piala FAM musim 2016,” katanya di sini.
Pemain U-Bes dilatih bekas pemain Kelantan Mahadi Yusof, manakala pengurusnya Mohd Ridza Zin dan Penolong Pengurus Mohd Ridhuan Nawi.
Baru-baru ini majlis memperkenalkan pemain MPKB-BRI U-Bes diadakan di Perdana Resort. Sebelum ini diadakan solat hajat yang diimamkan sendiri Abdul Fattah. – HARAKAHDAILY 1/3/2016