KUCHING – Sebanyak 375 akaun milik syarikat dan individu yang kesemuanya bernilai lebih RM560 juta dibekukan selepas disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan rasuah pembalakan dan penebangan hutan secara haram di negeri ini.
Pengarah Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Jamidan Abdullah berkata, perintah pembekuan akaun ke atas syarikat-syarikat dan individu-individu terbabit dilakukan selepas SPRM melakukan serbuan ke atas 48 lokasi yang disyaki berlakunya perbuatan rasuah.
Menurut beliau, daripada 48 lokasi serbuan, 27 buah melibatkan kilang papan dan pusat longgokan kayu balak manakala bakinya melibatkan premis-premis perniagaan.
Semua lokasi kilang papan, pusat longgokan kayu balak dan premis-premis perniagaan yang diserbu terletak di sekitar Miri, Bintulu, Sibu, Bakun, Kapit dan Kuching.
“Siasatan daripada serbuan di lokasi-lokasi tersebut, SPRM telah membekukan sebanyak 375 akaun milik syarikat dan individu dengan nilai wang melibatkan lebih RM560 juta,” kata beliau dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.
– Kosmo