SPRM Kelantan tahan 33 suspek

KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan berjaya menahan 33 suspek yang terlibat dalam aktiviti rasuah sepanjang tahun ini.

Jumlah itu dikatakan meningkat ketara sehingga 300 peratus berbanding 11 orang purata tangkapan setahun sejak 10 tahun yang lalu.

Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Aban berkata, daripada jumlah itu, 25 adalah kakitangan kerajaan melibatkan pegawai Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), anggota polis, Jabatan Hutan dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Katanya, dua daripada anggota polis ditangkap adalah kes berulang. Mereka melakukan kegiatan rasuah dalam bulan sama dan kes itu berada di pendakwa raya sebelum dibawa ke mahkamah.

Selain itu katanya, enam daripada suspek adalah orang awam melibatkan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan mereka yang cuba menyogok pihak berkuasa, manakala dua lagi pihak swasta.

“Daripada jumlah itu, empat kes telah dituduh dan didapati bersalah, 21 kes cadangan tuduh dan di peringkat atasan sama ada SPRM atau pendakwa raya, dua laporan tata tertib kepada jabatan, satu senarai hitam dan empat  lagi dalam siasatan, satu kes ditutup kerana kekurangan bukti,” katanya kepada pemberita selepas hadir Karnival Futsal SPRM sempena Hari Anti Rasuah Sedunia 2015  di Arena Futsal di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Aziz berkata, peningkatan kesedaran untuk menolak rasuah atau kecurangan integriti daripada masyarakat, antara dikenal pasti penyumbang peningkatan tangkapan itu.

“Purata 10 tahun statistik  saya kaji, kebiasaan kita dapat  350 maklumat rasuah, dari jumlah itu, tangkapan 11 suspek.

“Tetapi sejak tahun lalu hingga kini, purata kita dapat 160 maklumat, berlaku penurunan tetapi tangkapan besar, itu bermakna kualiti maklumat dan mereka yang tampil  benar-benar terlibat dan tahu salah laku itu berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan kira-kira RM36 juta khususnya kes melibatkan bantuan wang mangsa banjir di negeri ini.

Katanya, tindakan itu dilakukan dengan melakukan audit  permohonan mangsa banjir yang dibuat kepada Majlis Keselamatan Negara.

“Lima kes, kita telah rampas wang diagihkan kepada penerima tetapi mereka tidak layak. Kita dapat aduan mereka tidak layak kerana bukan bermastautin di situ atau ambil wang itu secara berulang,” katanya. [SINAR HARIAN 22 NOVEMBER 2015]

(Visited 2 times, 1 visits today)

Add Comment