Kota Bharu – Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) kerana sanggup mengambil alih projek rumah kekal mangsa banjir di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang yang sepatutnya disiapkan Kerajaan Persekutuan.
Sebanyak 73 buah rumah di Limau Kasturi masih tiada tindakan sebagaimana dibangkitkan ADUN Paloh, Dato’ Norzula Mat Diah di Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Susulan itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Dato’ Haji Abdul Fattah Haji Mahmood mendedahkan bahawa di peringkat awal projek berkenaan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Khazanah dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). Malangnya, berikutan kelewatan kelulusan peruntukan pembangunan infrastruktur di bawah pengurusan Putrajaya, maka Khazanah dan DPMM telah menarik diri dari projek tersebut.
“Dan bilamana Khazanah tarik diri, DPMM tarik diri, jadi saya ucap banyak-banyak terima kasih kepada pihak MAIK kerana sanggup mengambil kembali untuk meneruskan projek di Limau Kasturi,” ujar beliau.
Sungguhpun demikian, apabila kerja-kerja pembangunan infrastruktur masih gagal dilaksanakan Kerajaan Persekutuan, maka MAIK tidak dapat memulakan kerja-kerja pembangunan.
Dato’ Fattah turut mendedahkan masalah yang sama di Mukim Pulai, Gua Musang yang melibatkan pembinaan 44 unit rumah. Peruntukan sebanyak RM1.7 juta telah lama diluluskan tetapi kerja-kerja asas infrastruktur belum dimulakan mengakibatkan pembangunan tergendala di situ.
Sebelum itu, menjawab soalan ADUN Gual Periok, Dato’ Fattah mendedahkan sebanyak 497 buah rumah kekal mangsa banjir 2014 telah disiapkan Kerajaan Negeri Kelantan melalui Majlis Agama Islam Kelantan, agensi negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Manakala Kerajaan Persekutuan turut menyiapkan sebanyak 256 buah rumah.
Daripada jumlah keseluruhan 1671 buah rumah kekal, 635 unit diagihkan kepada Kerajaan Negeri dan selebihnya diusahakan Kerajaan Persekutuan sebagaimana dipersetujui Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan sebelum ini.