oleh Norzana Razaly
Kebijaksanaan adalah aset termahal tidak terbayar dek mata wang dunia kecuali pahala di negeri akhirat. Lebih menguntungkan, barakah kebijaksaan boleh terus dinikmati oleh semua pihak secara langsung di dunia lagi. Maka manusia cerdas yang memiliki akal budi dan budi bahasa (fakulti intelektual, emosi dan spiritual) bertahap tinggi akan sentiasa memikirkan cara berbuat kebajikan kepada orang lain melebihi diri sendiri selari dengan mafhum hadis riwayat Tabrani:
“Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling dicintai Allah dan apakah perbuatan yang paling dicintai oleh Allah? Rasulullah SAW menjawab: “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah manusia yang paling banyak bermanfaat dan berguna bagi manusia yang lain; sedangkan perbuatan yang paling dicintai Allah adalah memberikan kegembiraan kepada orang lain atau menghapuskan kesusahan orang lain, atau melunasi hutang orang yang tidak mampu untuk membayarnya, atau memberi makan kepada mereka yang sedang kelaparan dan jika seseorang itu berjalan untuk menolong orang yang sedang kesusahan itu lebih aku sukai daripada beri’tikaf di masjidku ini selama satu bulan.”
Ternyata rakyat Kelantan memiliki kualiti kebitaraan luar biasa kerana bertindak bijak dan berani memilih pasukan pimpinan ulama teknokrat berilmu, berkemahiran tinggi dan berpengalaman untuk menerajui Kerajaan Negeri Kelantan selama hampir 30 tahun bermula dengan perlahan-lahan penuh berhikmah memperkenalkan dasar Membangun Bersama Islam.
Kemudian, saf pimpinan sederap memacu Kelantan Melangkah Kehadapan Menerajui Perubahan dengan semangat ta’awun Merakyatkan Membangun Bersama Islam demi meraih Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan untuk kejayaan hidup dunia akhirat.
Lonjakan kecemerlangan
Pemula tahun 2020, keindahan struktur pola urus-tadbir Negeri Kelantan yang sinonim dengan julukan Negeri Tadahan Wahyu dan Serambi Mekah dipersegarkan lagi dengan Strategi Lautan Hijau sebagai kaedah penyelesaian masalah melalui perspektif Islam.
Ia melibatkan integrasi tiga elemen yang saling berhubung-kait yakni Nilai Sosial, Nilai Ekonomi dan Nilai Alam Sekeliling sejajar dengan agenda pembangunan lestari dan mengambil pendekatan penambahbaikan (islah) meliputi empat teras utama melalui Pelan Induk Pembangunan Mampan Negeri Kelantan (PMK 2019-2023).
Hal ini sejajar dengan ajaran Islam bersumberkan wahyu Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW yang sentiasa menegaskan elemen kesederhanaan di dalam semua tindakan termasuklah berpada-pada ketika berbelanja.
Berpandukan kalam kebenaran inilah Kerajaan Negeri Kelantan menyuai-padankan elemen ekonomi yang bermodalkan intangible value (kos tidak zahir) di dalam mengurus-tadbir negeri dengan nilai intelektualiti, berhemah dan berintegriti sehingga menatijahkan peningkatan hat-trick lebihan perbelanjaan dari tahun 2017 sebanyak RM38.2 juta, mencanak kepada RM40.4 juta pada tahun 2018 dan terus melonjak pada tahun 2019 sebanyak RM45 juta.
Memperkatakan elemen murni kategori sosial, Kerajaan Negeri dan agensinya mengaplikasikan aspek inovasi dan kreativiti berasaskan sumber sediada terutamanya keberdayaan manusia dan khazanah alam sekitar untuk menghasilkan ciptaan baharu yang kreatif, berkos kecil tetapi besar kesannya seperti Pertandingan Laman Rumah Bersih dan Ceria 2019 anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bersempena menyahut Kempen Kelantanku Bersih yang dilancarkan oleh Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan sejak April 2019.
Sinergi strategik
Kolaboratif secara bersinergi yang strategik dan dinamik ini melibatkan 5000 penduduk kampung bergotong-royong menceriakan persekitaran kediaman masing-masing secara mikro yakni bermuafakat sesama keluarga, diperpanjangkan kepada kerjasama dengan jiran tetangga. Secara makro, aktiviti sihat ini diperluaskan pula dengan penglibatan Urusetia Pembangunan Penghulu Kelantan (UPPK) dan Pihak Berkuasa Tempatan selaku agensi Kerajaan Negeri.
Insentif penyuntik kesan besar secara langsung kepada pemerkasaan agenda Kelantanku Bersih berkemuncak dengan penyampaian hadiah berupa wang tunai dan sijil (nilai zahir atau tangible value) kepada para pemenang berserta pesanan (intangible value) oleh YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan, Hj. Ahmad Yakub agar semua pihak terlibat terus mengekalkan kebersihan dan keceriaan di sepanjang hayat dengan tidak mengira tempat berdasarkan hadis kebersihan itu separuh daripada iman dan Allah itu Maha Indah dan menyukai keindahan.
Ringkasnya, nilai sosial menurut Strategi Lautan Hijau melibatkan peningkatan kualiti hidup rakyat dan komuniti hijau seperti kempen Kelantanku Bersih yang diterapkan secara pendidikan praktikal dengan amalan bergotong-royong untuk kebajikan bersama yang menguntungkan banyak pihak sekali gus meliputi nilai ekonomi dengan perbelanjaan kecil secara berhemah tetapi tetap menghasilkan impak yang besar dan berterusan.- UPKN KELANTAN 9/1/2020
Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2570220536545631