SUBSIDI PETROL BERSASAR ATAU TERSASAR?

webmaster

1. Di tengah-tengah kehangatan pilihanraya kecil Tanjung Piai dan kekalahan besar Pakatan Harapan, sebenarnya isu ini tidak kurang pentingnya kepada survival rakyat terutama golongan B40 yang sedang dihimpit dengan pelbagai tekanan kos sara hidup. Sayangnya, saya tidak berkesempatan untuk turut membahas di peringkat Jawatankuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada hari Khamis lepas 14 November 2019.

2. Lima hari lalu, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri KPDNHEP meminta enam pemain utama syarikat minyak di Malaysia menurunkan harga di bawah paras yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan. Dua hari lepas 15 November 2019 Kementerian Kewangan telah menetapkan harga runcit petroleum seliter bagi RON95 ialah RM2.08, manakala harga sebenar sebelum subsidi ialah RM2.40. Justeru, enam syarikat minyak disaran menjual pada paras tersebut.

3. Adakah saranan Menteri PDNHEP akan diterima oleh syarikat dan pengusaha stesen minyak? Lebih baik diteliti terlebih dahulu formula pengiraan harga runcit petroleum seperti ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Mekanisme Harga Automatik (Automatic Pricing Mechanism) sejak tahun 1983. Mekanisme Harga Automatik terdiri daripada dua komponen utama iaitu Kos Produk dan Kos Tetap.

4. Kos Produk merujuk kepada harga asas minyak yang disandarkan kepada harga purata harian Mean of Platts Singapore (MOPS) yang diterbitkan oleh McGraw Hills. Harga MOPS dikira secara se-tong (per barrel), perlu ditukarkan kepada se-liter dan mengambil kira faktor kedudukan Ringgit Malaysia berbanding Dollar Amerika. Satu tong bersamaan dengan 158.99 liter. Saya kepilkan carta yang didapati daripada laman web isaham.my boleh membantu pengiraan dengan lebih mudah.

5. Carta yang saya kepilkan ialah harga unjuran RON95 merujuk kepada Singapore Mogas 95 Unleaded (Platts) Futures Quotes dan purata Kadar Tukaran Asing Bank Negara Malaysia. Dalam hal ini, data terperinci MOPS tidak diperolehi. Namun, purata kadar tukaran asing Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika dalam tempoh seminggu dari 7 hingga 15 November 2019 ialah RM4.14. Sekiranya diandaikan harga MOPS tersebut adalah USD$73 se-tong, maka harga seliter ialah RM1.91.

6. Maka, Kos Produk RON95 ialah RM1.91. Selain Kos Produk, harga runcit juga mengambil kira Kos Tetap yang terdiri daripada Alpha, Kos Operasi, Margin Syarikat Minyak dan Margin Pengusaha Stesen Minyak. Jadual seterusnya adalah butiran terperinci bagi setiap Kos Tetap yang telah dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dan syarikat minyak. Jumlah keseluruhan Kos Tetap ialah RM0.345 sen sejak Januari 2019.

7. Oleh itu, harga runcit RON95 ialah Kos Produk (RM1.91) + Kos Tetap (RM0.345) dan jumlah keseluruhannya adalah RM2.25 se-liter. Paras siling yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan ialah RM2.08 se-liter. Maka, subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan pula ialah RM0.175 seliter. Namun, pada hari ini (15/11), Kementerian Kewangan mengumumkan harga runcit RON95 sebelum subsidi ialah RM2.40 se-liter. Diandaikan harga MOPS95 yang diambil kira oleh Kementerian Kewangan berlegar sekitar USD$79 se-tong.

8. Walau bagaimanapun, ini berasaskan andaian. Kementerian Kewangan perlu menjelaskan kaedah pengiraan Mekanisme Harga Automatik sebenar kepada rakyat terutamanya selepas Kerajaan Persekutuan membuat keputusan untuk mengapungkan harga runcit petroleum dan memperkenalkan subsidi bersasar bermula pada bulan Januari 2020. Namun, adakah benar ia akan diapungkan?

9. Bagaimana sebenarnya Program Subsidi Petrol (PSP) ini? Dalam Belanjawan 2019 telah dinyatakan dengan jelas, “Kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal. Mekanisme baharu ini dijangka bermula pada suku kedua 2019. Untuk ini, RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka dapat memanfaatkan seramai 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal”

10. Kemudian, pada 27 Mac 2019 The Edge melaporkan, “GHL bags RM25m project for RON95 subsidy programme”. Memetik daripada laporan portal berkenaan, “GHL Systems Bhd has won a RM25.03 million project to develop and implement the hardware and software applications for the government’s RON95 petrol subsidy programme. The group said its wholly-owned unit, GHL Transact Sdn Bhd, was awarded the project via a tender process by the Finance Ministry”. Apa yang menarik Pengerusi GHL Systems Bhd, Datuk Kamaruddin Taib ialah orang sama mempengerusikan Great Eastern Takaful Berhad yang berkaitan dengan Skim MySalam di bawah Kementerian Kewangan. ‘Coincidence’.

11. Empat hari sebelum Belanjawan 2020 dibentangkan, KPDNHEP baru membuat pengumuman Program Subsidi Petrol (PSP). Namun, pelaksanaan PSP hanya akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2020. Seterusnya dalam Belanjawan 2020 Menteri Kewangan menyatakan, “Subsidi layak diberikan sekiranya harga pasaran RON95 yang ditentukan oleh Mekanisme Penetapan Harga Automatik melebihi RM2.08 seliter dan tiada subsidi akan diberikan sekiranya harga berada di bawah RM2.08 seliter”.

12. Hal ini menunjukkan paras ambang harga petroleum RON95 masih ditetapkan tetapi tiada subsidi akan diberikan sekiranya ia melepasi paras RM2.08 seliter. Penarikan subsidi akan dilakukan. Sekiranya pengguna merupakan penerima BSH, maka pengguna tersebut menerima RM120 untuk 4 bulan (RM30 sebulan). Sebaliknya jika pengguna tersebut bukan penerima BSH tetapi layak, maka dia boleh memanfaatkan Kad95. Bagaimana jika dalam 4 bulan tersebut harga runcit tidak melebihi RM2.08 seliter, adakah mereka akan dapat RM120? Tidak!

13. Seterusnya saya lampirkan jadual harga runcit petroleum RON95 sepanjang bulan Oktober 2019 untuk dijadikan satu simulasi bagi mempertimbangkan kemunasabahan Program Subsidi Petrol (PSP) yang diperkenalkan oleh KPDNHEP.

Berdasarkan jadual tersebut, penerima RM30 sebulan (BSH) dan penerima Kad95 mendapat manfaat. Sekiranya harga petroluem RON95 ialah RM2.38 seliter, maka RM30 boleh menampung sepenuhnya penggunaan 100 liter sebulan atau 3.33 liter sehari. Adakah pemandu kereta mengisi 3.33 liter sehari? Sekiranya pemandu kereta mengisi RM10 bagi RON95 sehari, maka ia telah mengisi 4.20 liter (RM2.38 seliter) sahaja. Bagaimana pula kalau harga tersebut melonjak sehingga RM2.49 seliter?

14. Apa yang membimbangkan ialah penarikan subsidi (>RM2.08 seliter) akan menatijahkan kos pengeluaran atau harga barang yang lain (inflasi) meningkat. Peningkatan harga barang yang lain tidak boleh dibendung dengan pemberian subsidi RM30 sebulan. Golongan miskin atau mudah miskin akan terus terjejas. Golongan pertengahan pun akan terkena tempias. Jumlah subsidi RM30 dan penarikan subsidi bukan solusi terbaik untuk menstabilkan harga petrol dan meringankan beban rakyat.

15. Justeru, sejujurnya adakah Program Subsidi Petrol (PSP) ini benar-benar bersasar atau hakikatnya tersasar? Betul, orang kaya yang memandu kereta melebihi 1,600 cc tidak akan mendapat manfaat ini tetapi ramai atau majoriti rakyat akan dianiaya disebabkan penarikan subsidi dan bantuan RM30 sebulan yang tidak munasabah. Kerajaan berjimat, harga barang meningkat, rakyat terus terjerat!

Ahmad Fadhli Shaari
Ahli Parlimen Pasir Mas
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

17 November 2019

Sumber: https://www.facebook.com/ahmadfadhli1980/posts/10155712610124567

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

BMF SELARAS KEMPEN BBBM, BERI MANFAAT BESAR

SAYA sangat gembira apabila hujahan saya berkenaan isu Buy Muslims First (BMF) di Parlimen Khamis lalu semasa membahaskan Bajet 2020 peringkat Jawatankuasa, di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mendapat perhatian dan reaksi positif dari Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Muez Abd Aziz. Saya menghargai dan mengucapkan terima […]

Subscribe US Now