KOTA BHARU – Walaupun Kelantan tidak pesat membangun seperti negeri lain namun subur dengan pendidikan dan pengajian Islam.
Pengerusi Jawatankuasa, Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, biarpun tidak ada bangunan pencakar langit tetapi pengisian ilmu keislaman itulah yang lebih diterapkan di negeri ini.
“Alhamdulillah di Kelantan, satu perlima daripada bajet kerajaan negeri juga adalah memfokuskan pendidikan Islam dan angka ini tinggi,” katanya sempena Persidangan Pendidikan Tinggi Kelantan 2016 yang bermula semalam.
Persidangan yang dikendalikan Institut Latihan Perguruan Kelantan (ILPK) itu dirasmikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah dan akan berlangsung sehingga Khamis.
Turut hadir Pengarah ILPK, Yajid Yaakob.
Mohamed Fadzli berkata, hakikatnya dunia hari ini melihat pendidikan sebagai pelaburan yang menjana pendapat untuk kepuasan duniawi semata-mata.
Katanya, walaupun mampu melahirkan cendekiawan setiap tahun tetapi dunia dan negara berdepan dengan krisis moral dalam masyarakat.
Namun hakikatnya, ilmu agama yang diasuh dan dipelajari itulah menjadi bekalan untuk hari akhirat nanti.
Katanya, bertepatan dengan matlamat persidangan tersebut juga, pihaknya mengharapkan ia dapat dikembangkan dan diterapkan dalam pendidikan Islam.
“Kita akan terus berusaha walaupun dengan kekangan yang ada untuk menjadikan Kelantan sebagai hub pendidikan Islam bukan sahaja menjadi contoh di dalam negara tetapi dunia,” katanya.
Persidangan hari kedua bersambung hari ini dengan pembentangan dua kertas kerja bertajuk Dasar Pendidikan Tinggi Islam-Pengalaman KUIZM dan keduanya, KIAS- Misi dan Visi: Satu Analisa Kontemporari dan Futuristik. [SINAR HARIAN]