Sultan agih zakat RM150,000

PASIR PUTEH – Seramai 500 penduduk daripada golongan asnaf di jajahan ini menerima zakat berjumlah RM150,000 dalam majlis penyampaian yang diadakan di Masjid Kuala Semerak, dekat sini, kelmarin.

Penyampaian zakat daripada Majlis Jaksa Pendamai Kelantan itu disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sejurus selesai menunaikan solat tarawih.

Majlis dimulakan dengan berbuka puasa diikuti solat Maghrib, Isyak dan tarawih berjemaah diimamkan Imam Satu, Che Hani Che Manan.

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra turut berkenan mengagihkan zakat dalam majlis itu yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob; Presiden Majlis Jaksa Pendamai Kelantan, Datuk Faizoull Ahmad dan Ketua Jajahan Pasir Puteh, Mohd Anis Hussin.

Faizoull berkata, zakat itu hasil usaha Majlis Jaksa Pendamai Kelantan yang mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak.

“Program ini kita jadikan acara tahunan yang diadakan setiap Ramadan bagi meringankan beban golongan asnaf dalam menjalani ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri.

“Ia dilaksanakan mengikut jajahan dan tahun ini Jajahan Pasir Puteh dipilih. Jumlah agihan zakat disempurnakan Tuanku Sultan bergantung kepada jumlah wang yang kita kumpul,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Mohd Ali Mamat, 50, berkata, sumbangan itu menceriakan golongan asnaf yang memerlukan wang untuk dibelanjakan pada Ramadan ini.

Katanya, sebagai jemaah masjid berkenaan, dia berbangga kerana dapat menunaikan solat bersama Sultan Muhammad V.

“Apabila Sultan Kelantan berkenan menyampaikan zakat dan menunaikan solat di masjid ini, ia merupakan catatan aktiviti terbaik masjid ini dan merupakan sejarah yang tidak akan dilupakan,” katanya.

(Visited 3 times, 1 visits today)

Add Comment