Sup ‘gear box’ resipi turun temurun

MESKIPUN baru setahun beroperasi, sup gear box warung Kak Long di Chabang Empat, Tumpat yang terletak berhadapan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bunga Raya, mendapat sambutan yang luar biasa.

Bagi mereka yang pernah merasai keenakan sup ini, pasti akan datang lagi untuk menikmatinya.

Terletak di lokasi strategik di tepi jalan utama, warung Kak Long bukan sahaja dikunjungi penduduk tempatan tetapi pelanggan dari jauh.

Bau aroma supnya yang dimasak dengan rempah ratus masakan Melayu pasti membuatkan sesiapa sahaja kecur air liur, apatah lagi ketika melihat tulang lembu yang terhidang di dalam mangkuk.

Pemilik warung ini, Nur Effa Atikah Rosli, 23, atau lebih mesra dipanggil Kak Long berkata, sup gear box dijual dengan harga RM6.50 semangkuk bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.

Bagaimanapun, seawal jam 7 pagi menu lain sudah tersedia seperti nasi kerabu tumis, gulai kerutuk ayam pencen, ayam dan daging bakar serta gulai ayam kampung.

“Sup gear box ini adalah warisan resipi turun temurun bermula dari zaman nenek lagi,” katanya.

Kak Long memberitahu, sebelum ini ibunya, Zoianah Isa, 42, yang mewarisi resipi sup gear box dari neneknya dan kemudian diperturunkan kepadanya.

“Sebelum ini kami berniaga di Pasir Pekan sejak 15 tahun lalu dan kemudiannya berpindah di Chabang Empat setahun lalu,” katanya.

Katanya, bagi mengekalkan rasa asli sup tersebut, dia menggunakan bawang goreng yang digoreng sendiri bukan sahaja berfungsi sebagai hiasan, tetapi membuatkan rasa sup lebih sedap.

“Untuk memasak sup gear box ambil masa yang agak lama kerana tulang lembu itu perlu direbus bagi memastikan isi dagingnya empuk,” katanya.

(Visited 56 times, 6 visits today)

Add Comment