TUMPAT: Ketika kerajaan Malaysia baharu mempromosi prinsip Maqasid Syariah Malaysia, di Kelantan kempen kehidupan bersyariat dilaksanakan sejak Oktober 1990.
Pelbagai usaha dilakukan bagi mengajak rakyat hidup berpandu tuntutan syariat. Kemuncaknya meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II pada 1993.
Dan hari ini usaha itu diteruskan dengan penekanan kehidupan bersyariat termasuk kempen menutup aurat.
Yang Dipertua Majlis Daerah Tumpat (MDT), Rosnazli Amin berkata pihaknya turut menjalankan usaha mengadakan kempen kehidupan berpandukan syariat bagi warga Tumpat.
“Kita juga menubuhkan Unit Pembangunan Islam di MDT bagi melaksanakan program bagi mempertingkatkan kesedaran warga bandar terhadap agama.
“Selain itu kita juga mengadakan kerjasama dengan pihak polis untuk
memantau keselamatan bagi menjadikan bandar di jajahan ini selamat,” katanya pada kempen Indahnya Hidup Bersyariat di perkarangan Pasar Wakaf Bharu dekat sini.
Pelancarannya disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi. – HARAKAHDAILY